Liga Super Malaysia Berita

K Rajagobal: Korbankan Piala FA, bukan Piala Malaysia

Ketika kebanyakan pihak bercadang supaya Piala Malaysia dimansuhkan untuk menyelesaikan masalah jadual padat Liga Malaysia, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal mempunyai pandangan yang berbeza.

Ini terutamanya setelah kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan dari 31 Mac kepada 14 April.

“Mungkin MFL boleh korbankan Piala FA untuk Piala Malaysia, kerana bagi saya Piala Malaysia ada nilai sejarah dan tradisi tersendiri,” kata Rajagobal kepada Bernama.

“Debaran perlawanan akhir Piala Malaysia sentiasa memuncak setiap tahun, dan keghairahan penyokong terhadap pertandingan ini, tidak boleh dinafikan.

“Tetapi Piala FA juga pertandingan yang menyeronokkan, saya percaya MFL dan FAM pasti jumpa cara terbaik mendepani perkara ini. Keutamaan sekarang adalah semua pihak perlu memberikan kerjasama dalam menghadapi Covid-19.”

Katanya lagi, sekiranya MFL berhasrat meneruskan kesemua pertandingan, beliau mencadangkan supaya format saingan Piala FA diubah iaitu, satu perlawanan sahaja, bermula peringkat suku akhir tanpa aksi timbal balik.

Rajagobal menganggap, langkah berkenaan bukan sahaja mengurangkan jumlah perlawanan, malahan memendekkan tempoh perjalanan pertandingan, sekali gus memberi peluang kepada MFL untuk menganjurkan Piala Malaysia.

Berdasarkan jadual asal MFL, saingan Liga Super dan Liga Premier yang bermula pada 29 Feb lalu, dijangka berakhir pada pertengahan Julai, manakala saingan Piala Malaysia dijadualkan berlangsung pada awal Ogos.