Luar Negara

Swansea umum perlantikan Carlos Carvahal sebagai pengganti Paul Clement

Swansea City telah mengumumkan perlantikan Carlos Carvahal sebagai ketua jurulatih baru mereka untuk baki musim 2017-2018.

Carvahal, yang baru sahaja meninggalkan Sheffield Wednesday, akan menggantikan Paul Clement selepas bekas anak didik Carlo Ancelotti itu dipecat minggu lepas.

“Kami memang mahu menyelesaikan isu ketua jurulatih baru secepat mungkin dan sekarang, semua pihak, termasuk penyokong, boleh mula fokus terhadap baki musim ini,” kata Huw Jenkins, pengerusi Swansea City.

“Carlos menunjukkan tahap komitmen yang bagus bersama Sheffield Wednesday dan berjaya membantu mereka mara ke peringkat play-off, dua tahun berturut-turut. Dia turut mempunyai pengalaman yang sesuai untuk membantu kelab ini,” tambah Jenkins.

Namun begitu, para penyokong Swansea tidak menerima berita ini secara positif kerana Carlos Carvahal baru sahaja dipecat oleh Sheffield Wednesday pada hari Ahad lepas, selepas The Owls hanya berjaya meraih enam kemenangan di Championship setakat ini.

Empat hari selepas dipecat, Carlos telah diberikan tanggungjawab yang lebih besar, iaitu memastikan bahawa Swansea City kekal di Liga Perdana Inggeris pada penghujung musim ini.