Liga Super Malaysia Berita

Abu Bakar Fadzim tolak tawaran KAFA, mahu kekal bersama PKNP

Bekas ketua jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim telah menolak tawaran untuk mengambil alih sebagai ketua jurulatih pasukan Kelantan untuk musim 2018.

Menurut laporan Harian Metro, jurulatih yang lebih dikenali sebagai Burn itu mahu kekal setia bersama PKNP kerana dia masih mempunyai cabaran yang belum diselesaikan bersama mereka.

“Minta maaf. Tugas saya dengan PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) FC masih belum selesai. Saya ucapkan terima kasih kepada KAFA kerana mempunyai keyakinan terhadap saya hingga membuat tawaran untuk jurulatih TRW,” ujar Abu Bakar.

“Tapi tugas saya dengan PKNP belum selesai. Pasukan ini baru ditubuhkan dua musim lalu dan saya ingin laksanakan cita-cita dan aspirasi pasukan. Saya sudah mengikat kontrak dua tahun dengan mereka.

“Ini bukan soal wang semata-mata tapi juga kepuasan melihat hasil kerja,” tambah ketua jurulatih PKNP itu.

Di bawah kendalian Abu Bakar, PKNP menamatkan musim Liga Perdana 2017 di kedudukan ke-3, hanya satu mata di belakang Kuala Lumpur dan Terengganu – dua pasukan yang berjaya meraih slot Liga Super.

Malah, PKNP turut menjadi pasukan yang mempunyai rekod pertahanan terbaik dalam Liga Perdana setelah hanya bolos 23 gol sepanjang musim.