Malaysia Liga Super Malaysia

Ini mesej Khairul Helmi untuk pemain muda Kedah yang akan beraksi menentang JDT

“Ini satu peluang buat mereka dan mereka harus menggunakan kesempatan ini membuktikan kemampuan.”

Itu mesej yang diberikan oleh kapten pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari kepada pemain muda Kedah yang mungkin diturunkan apabile mereka menentang JDT dalam aksi terakhir Liga Super malam esok.

Pasukan kendalian Nizam Adha itu dijangka akan merehatkan beberapa pemain untuk perlawanan final Piala Malaysia pada minggu depan dan beberapa pemain muda akan diberikan peluang untuk beraksi menentang juara Liga Super musim ini.

Namun, Khairul Helmi berpendapat bahawa bintang muda Kedah mempunyai cukup kebolehan untuk mempamerkan aksi menarik di Stadium Darul Aman malam esok.

“Sama ada saya beraksi atau tidak, saya harap satu persembahan yang hebat dipamerkan oleh skuad muda Kedah dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman,” kata beliau kepada Arena Metro

“Semangat sepasukan yang dibina bersama sejak awal musim hingga kini menampakkan hasil selepas kami berjaya memulakan saingan dengan kejuaraan Piala Sumbangsih dan disusuli oleh Piala FA, kini berjaya melangkah ke final Piala Malaysia.
“Saya yakin pemain muda yang akan diturunkan malam esok sudah mempunyai suntikan aura semangat yang tinggi dan mampu menggalas tugas dengan berkesan walaupun berdepan lawan hebat.

“Kemampuan yang mereka tunjukkan dalam perlawanan sebelum ini perlu mereka teruskan dan buktikan peningkatan dalam perlawanan menentang Johor DT kali ini.

“Namun sebelum itu, kami harus kekal fokus untuk berdepan Johor DT yang pastinya mahu mengekalkan rentak dan reputasi terbaik selaku juara Liga Super musim ini,” tambah Khairul Helmi.