Liga Super Malaysia

Ini Bukan Skuad U19 Terbaik Dimiliki Malaysia – Bojan Hodak

Ketua jurulatih pasukan B19 kebangsaan, Bojan Hodak, menaruh harapan pemain-pemainnya mampu membanggakan Malaysia dalam kejohanan AFF U18 Championship di Yangon, walaupun kekurangan pengalaman aksi diperingkat antarabangsa.

Malaysia memulakan cabaran esok bertemu Laos dengan Thailand, Singapura dan Kemboja melengkapkan kumpulam A. Kejohanan ini juga akan digunakan Bojan Hodak sebagai pengukur prestasi pasukannya bagi mempersiapkan pasukan menjelang kelayakan kejohanan AFC U19 di Korea Selatan pada 31 Oktober hingga 8 November 2017.

“Saya telah memilih 23 pemain untuk kejohanan ini. Kebanyakan mereka adalah dari pemain Piala Presiden dan Piala Belia serta ada juga yang mempunyai pengalaman bersama pasukan Liga Premier dan Liga Super.”

“Ketika memulakan tugas, saya telah diberikan senarai 40 nama pemain oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dipanggil menyertai latihan pusat.”

“Selepas membuat penilaian selama 2 minggu, saya memilih 23 pemain untuk kejohanan ini. Secara jujur, kumpulan pemain ini bukanlah yang terbaik dalam kategori B19 di Malaysia.”

“Mungkin ada pemain yang lebih bagus, tetapi saya akan menggunakan pemain yang telah ini dahulu. Selepas tamat kejohanan ini saya akan turun untu mencari pemain lain”