Berita

Benarkah Gergasi Lembah Klang Intai Khidmat Febri Hariyadi?

Aksi Febri Hariyadi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan B bertemu Kemboja Khamis lalu, telah menjadi buah mulut ramai selepas berjaya mencetak gol cantik hasil rembatan jauh dari tengah padang. Gol itu telah berjaya membantu skuad Indonesia untuk layak ke saingan separuh akhir.

Salah seorang pemain yang menghamburkan pujian kepada Febri Hariyadi adalah Andik Vermansah. Pemain pasukan Selangor ini juga menyatakan keinginannya agar Febri boleh beraksi bersamanya dalam pasukan Selangor FA.

Andik mahu kejayaannya bersama pasukan Selangor mampu ditemani oleh pemain Indonesia yang lain. Beliau juga berharap semoga mampu untuk berjaya seperti 2 orang pemain seniornya Bambang Pamungkas dan Ellie Aiboy yang pernah memperkuatkan pasukan Selangor pada musim 2005 hingga 2007, serta meraih gelaran Liga Premier Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia musim 2005.

 

Mustahil Untuk Membawa Febri Ke Selangor

Tetapi apa yang dikatakan oleh Andik itu seakan tidak mampu untuk direalisasikan kerana Febri Hariyadi terikat dengan kontrak panjang bersama Persib Bandung sekurang-kurangnya sampai musim 2019.

“Banyak pasukan yang mahukan Febri. Tidak hanya pasukan Selangor FA, tetapi banyak lagi pasukan lain. Tetapi kontraknya bersama Persib masih panjang.” tegas pengurus pasukan Persib Bandung, Umuh Muchtar.

Selain itu, menurut Umuh lagi, Persib tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan Febri pergi begitu sahaja kerana pasukan masih memerlukan khidmatnya sehingga kini dan merupakan pemian penting untuk pasukan.