Luar Negara

Zidane sambung kontrak baharu dengan Real Madrid

Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane mengesahkan akan menandatangani kontrak baharu dengan kelab selepas berjaya mengemudi pasukan menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut.

“Saya gembira kerana ia adalah tanda keyakinan di atas segala kerja keras sebelum ini,” kata Zidane ketika sidang media sempena pra aksi Piala Super Sepanyol menentang Barcelona.

Media Sepanyol melaporkan, pengendali dari Perancis itu akan dianugerahkan tawaran kontrak tiga tahun di atas sumbangannya – bukan saja kejayaan menjulang dua trofi Liga Juara-Juara dalam tempoh 20 bulan berkhidmat, tetapi juga kejayaan meraih gelaran La Liga pertama dalam tempoh lima tahun.

“Setiap hari, saya gembira berada di sini,” kata Zidane yang menamatkan karier profesionalnya di Santiago Bernabeu.

“Saya cukup bertuah kerana memiliki skuad yang mantap dan saya gembira dengan apa yang ada,”

Zidane menambah koleksi trofi keenam sebagai pengurus apabila Madrid menewaskan Manchester United, 2-1 dalam aksi Piala Super UEFA, Selasa lalu.

Bagaimanapun, dia akur masa depannya banyak bergantung bagaimana dia memenuhi tuntutan kelab yang mahukan lebih banyak kemenangan sebagai pengendali kelab.

“Kamu boleh menandatangani kontrak 10 atau 20 tahun, tetapi saya tahu di mana saya berada dan apa yang perlu dilakukan,” katanya. “Dalam masa beberapa tahun, kamu akan keluar,” – AFP