Pasukan Selangor melakukan kejutan pada jendela perpindahan kedua apabila membawa masuk penyerang dari Sepanyol, Rufino Segovia bagi menggantikan Juliano Mineiro yang mengalami kecederaan dan kontraknya bakal berakhir bulan ini.
Pemain yang berusia 32 tahun itu berjaya memikat pihak pengurusan Selangor dan pengendali P. Maniam.
Mereka berpuas hati dan tertarik dengan kebolehan Segovia yang boleh bermain di posisi menyerang dan tengah. Dia juga mempunyai kualiti dan sesuai dengan sistem permainan yang ingin diterapkan oleh Maniam.
Pasukan Selangor kini sudah mempunyai kuota lengkap pemain import apabila mengekalkan penyerang Francis Forkey Doe manakala dua lagi slot pemain import diisi oleh Ugo Ukah dan Andik Vermansyah.
Segovia yang berasal dari Madrid, Sepanyol pernah beraksi dengan Rayo Vallecano, Atletico B dan Atletico Madrid pada 2005-2007 sebelum berpindah ke beberapa kelab dalam divisyen B Sepanyol dengan meledak 45 gol dalam 86 perlawanan.
Kelab asia terakhir diwakilinya adalah pasukan Kitchee FC dari Hong Kong dimana beliau menjaringkan 13 gol dalam 25 penampilan pada tahun 2016.
sumber: Harian Metro