Liga Super Malaysia

PDRM ikat seorang lagi pemain skuad kebangsaan Singapore

Pemain tengah skuad kebangsaan Singapore, Yasir Hanapi bakal berhijrah ke Malaysia untuk menyertai pasukan liga perdana, PDRM FA. Beliau akan menyertai rakan sepasukannya yang juga pemain skuad kebangsaan Singapore iaitu Safuwan Baharudin.

Pemain tengah yang berusia 27 tahun itu dikatakan telah lulus dalam ujian perubatan dan bakal menandatangani kontrak dalam masa terdekat. Beliau akan menyertai pasukan PDRM selepas selesai tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Singapore.

Pengerusi pasukan Tampines Rovers, Krishna Ramachandra mengesahkan tentang perpindahan itu dan mendedahkan bahawa tidak ada yuran perpindahan yang terlibat.

“Kami membenarkan semua pemain yang berbakat untuk pergi pada bila-bila masa demi kepentingan kerjaya mereka,” katanya.

Yasir berada dalam prestasi yang terbaik bersama Stags musim ini apabila menjaringkan lima gol dalam semua pertandingan dan hanya satu gol lagi untuk yang hampir sama dengan prestasi terbaik beliau dari tahun 2014.

Pemain tengah serba boleh, yang mahir dalam serangan dan pertahanan serta mempunyai keupayaan untuk bermain di bahagian sayap. Beliau memulakan kerjaya professionalnya dengan pasukan Geylang United (kini Geylang International) pada tahun 2008.

Beliau kemudian bermain untuk pasukan LionsXII pada tahun 2012, seterusnya kembali ke Geylang pada tahun 2013 dan kemudian berpindah ke Home United 2014-2015.

PDRM kini menghuni kedudukan ketujuh daripada 12 pasukan di peringkat pertengahan musim dalam liga perdana dan sembilan mata di belakang pendahulu Negeri Sembilan.