Liga Super Malaysia

Berapa Kadar Levi Stadium Sultan Muhammad IV Yang Dikenakan Kepada KAFA

Menurut surat yang dikeluarkan pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) bertarikh 27 Februari 2017, pihak KAFA masih belum menjelaskan bayaran levi stadium bagi perlawanan bertemu Selangor pada 25 Februari yang lalu.

Kandungan surat itu, PSK menyatakan jumlah yang perlu dijelaskan oleh KAFA adalah sebanyak RM18,187.05, sebelum 2 Mac 2017. Kegagalan untuk membuat bayaran itu akan menjejaskan waktu perlawanan Kelantan bertemu T-Team pada 4 Mac 2017 kerana PSK tidak akan membenarkan perlawanan diadakan pada waktu malam. Sekiranya levi untuk perlawanan Sabtu ini juga gagal dijelaskan dalam masa yang ditetapkan, PSK tidak akan membenarkan pasukan Kelantan menggunakan stadium Sultan Muhammad IV untuk semua baki perlawanan Liga Super 2017.

Untuk mendapatkan pengesahan lanjut, kami menghubungi pihak Perbadanan Stadium Kelantan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Seorang pegawai PSK menerangkan kepada kami PSK mengenakan kadar levi sebanyak 10% berdasarkan jumlah kutipan jualan tiket di stadium bagi setiap perlawanan, dimana jumlah minimum adalah RM15,000. Menurutnya lagi, pihak PSK akan mengira berapa keping tiket yang diterima oleh KAFA dari FAM sebelum diserahkan kembali untuk jualan kepada umum.

Selepas tamat perlawanan, bilangan dan jumlah kutipan tiket setiap perlawanan perlu diisytiharkan kepada PSK untuk mengira jumlah levi yang akan dikenakan kepada KAFA.

Sebagai contoh, kami gunakan senario dibawah untuk lebih jelas.

Kes 1:
Harga Tiket: RM15
Jumlah tiket terjual keseluruhan: 18,000 keping
Jumlah kutipan keseluruhan 1 perlawanan: RM270,000

Levi Stadium: 10% x RM270,000 = RM27,000

Oleh kerana jumlah levi adalah lebih dari RM15,000, maka jumlah sebenar akan diambil kira iaitu RM27,000.

Kes 2:
Harga Tiket: RM15
Jumlah tiket terjual keseluruhan: 12,000 keping
Jumlah kutipan keseluruhan 1 perlawanan: RM135,000

Levi Stadium: 10% x RM135,000 = RM13,500

Dalam kes ini, jumlah levi adalah RM15,000 kerana minimum levi yang dikenakan adalah RM15,000.

Selain itu, pegawai PSK juga menjelaskan bayaran levi bagi tahun lalu masih belum dijelaskan lagi namun mereka tidak memberitahu kami berapa jumlah sebenar hutang levi 2016 atas alasan tidak mahu dihebahkan kepada umum.

Jika dihitung jumlah levi bagi satu musim untuk Liga Super sahaja, PSK akan menerima minimum RM165,000.