Bagi aksi kejohanan Piala Raja pada tahun ini, Thailand selaku tuan rumah akan berdepan Gabon, Slovakia serta Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Thailand yang juga juara bertahan akan beraksi menentang Gabon pada 22 Mac, sementara Slovakia dan UAE akan melakukan perhitungan pada hari yang sama. Perlawanan final akan dijalankan tiga hari kemudian pada jam 7:30 malam manakala penentuan tempat ketiga dan keempat akan diadakan sebelumnya, bermula 4:30 petang.
Keempat-keempat pasukan telah mengumumkan senarai akhir skuad pada Khamis lalu, menyaksikan bintang bola sepak terkemuka dunia seperti penggempur Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, Marek Hamsik (Napoli) serta bekas pertahanan Liverpool, Martin Skrtel, bakal melakukan penampilan di Thailand.
Dalam masa sama, UAE juga tidak ketinggalan mempertaruhkan barisan terbaik yang akan diketuai oleh bekas pemain terbaik tahunan Asia, Omar Abdulrahman, serta Ahmed Khalil.
Sementara itu, Thailand yang serius untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi pada tahun lalu akan memanggil penjaga gol yang berkelana di Belgium, Kawin Thamsatchanan, Teerasil Danda (Sanfrecce Hiroshima), Theerathon Bunmathan (Vissel Kobe) dan Chanatip Songkrasin (Consadole Sapporo).