Luar Negara Eropah

Tatkala saingan Ligue 1 hampir ke penghujung, Eiji Kawashima hadapi cabaran besar di Perancis

Bagi penggemar bola sepak, nama FC Metz mungkin bukan satu nama yang sering didengari. Pasukan yang berpangkalan di Stadium Saint-Symophorien dalam Ligue 1 Perancis itu tentunya bukan sebuah pasukan yang gah tetapi wujud seorang pemain dari Asia yang berani mempertaruhkan nasibnya di situ, iaitu Eiji Kawashima.

Karier Kawashima di Metz tidak seindah dibayangkan. Dia menyertai Metz dari Dundee United pada musim panas 2016, namun dia gagal mendapat kepercayaan untuk mengemudi gawang pasukan bagi musim 2016/17 selepas kehilangan tempat kepada Thomas Didillon.

Nasibnya menjadi lebih baik pada musim berikutnya apabila pengendali baru, Frederic Hantz, memberikan peluang dan kepercayaan untuknya beraksi. Bagaimanapun, situasi itu tampak tidak memberikan pulangan berbaloi apabila Les Grentas menghuni kelompok tercorot liga selepas 28 perlawanan dengan 20 mata.

Lebih memeritkan, jarak antara mereka dengan skuad yang menduduki tangga ke-18, Toulouse, dibezakan dengan sembilan mata. Justeru, mereka pastinya mengharapkan keajaiban untuk baki aksi bagi mengekalkan tempat dalam Ligue 1.

Penjaga gol kebangsaan Jepun itu juga mengalami tempoh sedih apabila menjadi sasaran sebagai punca akan prestasi buruk pasukannya bagi musim ini.

Bersama Hantz, Kawashima telah beraksi seabanyak 21 kali dalam saingan liga. Namun, dia hanya dapat mengelakkan kubu daripada dibolosi sebanyak tiga kali. Dalam 18 perlawanan lain, dia telah melepaskan 36 gol sehingga mencipta purata dua jaringan setiap perlawanan.

Melihat kepada statistic itu, jauh sekali untuk menyifatkan prestasinya sesuatu yang bagus. Tidak hairan jika penyokong-penyokong Metz sering mengkritiknya. Malah, ada juga peminat-peminat di Saint-Symphorien yang mahu penjaga gol itu diletakkan di bangku simpanan.

Kawashima bernasib baik kerana Hantz masih mempercayainya kebolehan pemain dari Saitama itu walaupun masih mempunyai pilihan lain seperti Didillon dan Quentin Beurnadeau kerana berpendapat, bintang Jepun itu lebih berpengalaman.

Tatkala saingan Ligue 1 yang semakin menghampir penghujung, Kawashima tiada pilihan lain selain memastikan gawangnya tidak dibolosi untuk membantu skuad kendalian Hatz daripada terjerumus ke saingan Ligue 2 pada musim depan.

Selamat maju jaya, Kawashima!