Asia

King Kazu dinobat sebagai penjaring gol tertua di dunia oleh Guiness World Record

Lagenda bolasepak Jepun, Kazuyoshi Miura telah dinobat sebagai penjaring gol tertua di dunia oleh Guiness World Record.

Miura, atau lebih dikenali sebagai King Kazu, berjaya menjaringkan gol menentang Thespa Kusatsu Gunma pada bulan Mac 2017, ketika dia berumur 50 tahun dan 14 hari. Kini, gol tersebut telah diberi pengiktirafan rasmi oleh Guiness World Record.

“Ini merupakan pengiktirafan yang cukup bermakna tetapi saya mahu terus meneruskan karier saya supaya dapat memecahkan rekod ini sekali lagi,” kata Miura, menurut laporan Nikkan Sports. “Setiap kali saya turun beraksi, harapan saya adalah untuk menjaringkan gol dan memecahkan rekod ini.

Miura merupakan antara bintang tersohor dalam sejarah bolasepak Jepun. Dia pernah bermain untuk Santos FC di Brazil, selain untuk kelab-kelab di Itali, Croatia dan juga Australia. Baru-baru ini, Miura menandatangani kontrak baru bersama Yokohama, meskipun berumur 51 tahun.

“Saya sudah menandatangani kontrak baru untuk musim depan. Saya selalu bermain dengan hati saya, dan saya berharap ini akan memberi peluang untuk saya terus berkembang sebagai seorang pemain bola sepak,” kata Miura kepada Kyodo News.