Liga Super Malaysia Berita

Joel Cornelli jurulatih baharu Malayan Tigress

FAM mengumumkan pelantikan jurulatih berpengalaman dari Brazil, Joel Cornelli sebagai ketua jurulatih Malayan Tigress yang baharu.

Beliau menggantikan Soleen Al-Zoubi yang kini diberi peranan sebagai Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM.

Pelantikan ini merupakan langkah strategik FAM dalam memperkukuh struktur kejurulatihan skuad bola sepak wanita kebangsaan seiring dengan visi untuk melonjakkan prestasi skuad wanita negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

Joel memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan bola sepak, termasuk penglibatan dengan beberapa kelab profesional serta program pembangunan di Amerika Selatan, Asia dan Asean.

Menurut Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob, pelantikan Joel sebagai ketua jurulatih yang baharu dianggap penting bagi memperkuatkan lagi Malayan Tigress seterusnya dapat memberi saingan kepada pasukan-pasukan di pentas antarabangsa.

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran Joel ke dalam keluarga bola sepak wanita Malaysia dan saya percaya beliau dapat membawa pendekatan yang segar dan baharu ke dalam skuad bola sepak wanita kebangsaan terutama sekali menjelang aksi Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2026, Jun nanti.

“Beliau akan mula bekerja dengan barisan pemain pada kem latihan pusat Malayan Tigress yang dijadualkan bermula hujung Mei nanti. Dengan sokongan menyeluruh daripada barisan kejurulatihan serta FAM, saya percaya skuad bola sepak wanita kebangsaan mampu mencipta kejutan di Tajikistan, nanti,” kata Dato’ Suraya.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Naib Presiden FAM, Saaran Nadarajah dan Exco FAM, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Sementara itu, Soleen menyifatkan pelantikan beliau sebagai Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM membantu beliau untuk memperkukuhkan struktur kepimpinan bola sepak wanita Malaysia dan mengalu-alukan kehadiran Joel sebagai ketua jurulatih Malayan Tigress yang baharu.

“Joel akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada skuad bola sepak wanita senior, membawa kepakaran serta tenaganya untuk membimbing barisan pemain wanita utama negara sekali gus memberi peluang kepada saya untuk memberi fokus kepada pembangunan menyeluruh bola sepak wanita negara, khususnya pembangunan belia, pendidikan jurulatih, program-program pembangunan dan perancangan teknikal jangka panjang.

“Penyusunan semula ini mencerminkan kepercayaan kami terhadap pendekatan yang holistik dan berorientasikan masa depan untuk pembangunan bola sepak wanita. Saya yakin dengan Joel di barisan hadapan pasukan senior, kita berada di landasan yang tepat dalam memburu kejayaan segera serta pertumbuhan jangka panjang,” kata Soleen.

Joel di dalam kenyataan sulungnya menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada barisan kepimpinan FAM.

“Saya amat terharu serta berbesar hati diberikan kepercayaan untuk mengemudi skuad Malayan Tigress ini. Saya melihat banyak potensi dalam kalangan pemain wanita Malaysia dan komited untuk membentuk satu pasukan yang bukan sahaja berdaya saing di Asia Tenggara, tetapi juga mampu mencabar di pentas Asia.

“Fokus saya adalah membina asas kukuh dan menanam budaya bola sepak profesional dalam skuad ini,” katanya.

Skuad Malayan Tigress dijadualkan memulakan kem latihan pusat pertama bagi tahun 2025 Mei ini dan akan mengharungi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Bhutan dan Hong Kong di Nepal sebelum turun beraksi di Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Dushanbe, Tajikistan, Jun nanti.