Liga Super Malaysia Berita

Melaka United, Sarawak United tidak layak beraksi Liga Super musim 2023

Melaka United dan Sarawak United gagal mendapatkan lesen kebangsaan selepas permohonan mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) pada 11 dan 12 Oktober 2022.

Ini bermakna, mereka tidak layak untuk bertanding dalam saingan Liga Super musim 2023.

“Berkenaan permohonan Melaka United, kelab itu gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022,” kata Pengerusi Pelesenan Kelab MFL FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam kenyataan.

“Mereka juga tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.”

Katanya, Sarawak United pula gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan.

“Mereka juga mempunyai dua kes FIFA di mana keputusan telah dibuat oleh DRC FIFA terhadap bekas pemain Sandro Da Silva dan Taylor Regan.

“Bagaimanapun Melaka United dan Sarawak United diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan sebelum 19 Oktober 2022 terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan lesen kebangsaan.”

10 pasukan yang bertanding dalam Liga Super 2022 telah berjaya mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus melayakkan mereka bertanding dalam saingan Liga Super 2023.

10 kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, PJ City, Pahang, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur City dan Sabah.

Malah, 6 permohonan pasukan Liga Premier 2022 diluluskan dan diberikan Lesen Kebangsaan untuk menyertai Liga Super 2023 iaitu Kelantan, Kuching City FC, Kelantan United, Perak, PDRM FC and UiTM FC.

Dalam pada itu, setiap pasukan diarahkan untuk menyerahkan surat pengisytiharan yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan atau kelewatan pembayaran gaji.

Ini termasuk bayaran KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS kepada MFL sebelum 15 Disember 2022, iaitu menjelang musim baharu Liga Super 2023.