Malaysia Berita

Nelo Vingada: Wajar dikekalkan atau dilepaskan?

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Nelo Vingada berkata bahawa beliau sanggup meletak jawatan ekoran kegagalan Harimau Malaya melayakkan diri ke Piala Asia.

Malaysia tewas kepada Korea Utara dua kali dalam masa satu minggu, manakala skuad ini turut belum memenangi sebarang perlawanan sejak Vingada mengambil alih daripada Datuk Ong Kim Swee pada pertengahan tahun ini.

Vingada berpendapat bahawa pasukannya hanya akan bertambah baik pada tahun depan, namun dia bersedia untuk undur diri sekiranya arahan tersebut diberi oleh majikannya.

“Kalau pemergian saya dapat menyelesaikan segala masalah yang membelenggu pasukan kebangsaan ketika ini, siapkan surat dan saya boleh tandatangani serta merta,” ujar Vingada kepada Arena Metro.

“Saya mengambil tanggungjawab atas keputusan yang diraih kerana apabila kita tewas, saya yang mengalami kekalahan dan apabila kami menang, pasukan yang meraih kemenangan.

“Sememangnya tujuh perlawanan tanpa kemenangan bukan satu keputusan yang baik kerana saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini, tetapi saya yakin senario ini pasti akan berbeza pada tahun hadapan,” tambah Vingada.

Apa pandangan anda? Perlukah FAM melepaskan Nelo Vingada? Atau anda rasa beliau layak diberi lebih masa untuk membentuk skuad kebangsaan yang mantap?