Liga Premier Malaysia Berita

Kuching City tandatangan bekas pemain remaja Arsenal dan Fulham, Keanu Marsh-Brown

Kuching City FC menandatangani bekas pemain remaja Arsenal dan Fulham, Keanu Marsh-Brown bagi menghadapi saingan Liga Premier musim 2022.

Penyerang berusia 29 tahun itu diperkenalkan ketika majlis menandatangani kontrak di pejabat Kuching City di Kuching baru-baru ini.

Beliau merupakan import keempat Kuching City selepas menandatangani penyerang dari Liberia, Abu Kamara, pertahanan Aylton Alemao dan pemain tengah Yuki Tanigawa.

“Teruja dapat menyertai Kuching City yang beraksi di Liga Malaysia,” kata Marsh-Brown menerusi akaun Twitter miliknya.

“Terima kasih kerana mengalu-alukan kedatangan saya, saya sudah tidak sabar untuk memulakan musim ini, kita jumpa tidak lama lagi.”

Marsh-Brown yang berasal dari Hammersmith, England memulakan karier bolasepaknya bersama Arsenal pada 2002 ketika beliau berusia 10 tahun sebelum berhijrah ke Fulham pada 2004.

Selepas lima tahun, beliau menandatangani kontrak profesional bersama Fulham pada 2009 yang ketika itu dikendalikan oleh Roy Hodgson.

Sejak menandatangani kontrak profesional, beliau sering dipilih oleh Hodgson untuk menjadi sebahagian daripada skuad utama Fulham.

Malah, beliau sentiasa menjadi pemain simpanan dalam beberapa perlawanan Europa League termasuk ketika Fulham bertemu Shakhtar Donetsk dan Juventus.

Beliau turut dikaitkan dengan perpindahan ke Tottenham dan Manchester City sebelum membuat keputusan untuk kekal di Fulham dengan menandatangani kontrak lanjutan pada Januari 2011.

Namun, Marsh-Brown mula dipinggirkan daripada skuad utama Fulham apabila dipinjamkan ke Milton Keynes Dons dan Dundee United, sebelum membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya pada November 2011.

Pada Januari 2012, beliau menandatangani kontrak jangka pendek dengan Oldham Athletic, sebelum menyertai Yeovil pada Mei 2012.

Namun, beliau sekali lagi dipinggirkan daripada skuad utama Yeovil dan bersetuju untuk menamatkan kontrak secara bersama pada Januari 2013.

Pada Mac 2013, beliau berhijrah ke Barnet dan kekal bersama pasukan itu hingga Jun 2015, menjaringkan 14 gol.

Beliau kemudian berpindah ke Forest Green Rovers dengan mencatatkan 20 gol dan kekal bersama pasukan itu hingga 2018, selain pernah dipinjamkan ke Dover pada 2017.

Selepas itu, Marsh-Brown menyertai Newport County dan kekal bersama pasukan itu hingga 2019 sebelum berkelana ke Amerika Syarikat dengan menyertai Liga USL Championship, Memphis 901 FC pada Januari 2020.

Namun, beliau kembali ke England pada Disember 2020 apabila menyertai Gloucester City sebelum menyertai kelab Wales, Wrexham pada April 2021 namun tidak ditawarkan kontrak bagi musim 2021-2022.

Terbaru, beliau menyertai kelab Liga Bahrain, East Riffa pada September 2021 sebelum berhijrah ke Kuching City.

Selain itu, Marsh-Brown juga mempunyai pengalaman beraksi dengan skuad England B16, B17, England C sebelum memilih untuk mewakili Guyana.

Kuching City dalam misi untuk layak ke Liga Super buat pertama kali dalam sejarah, selepas menamatkan saingan Liga Premier di tangga ke-5 musim lalu.