Liga Super Malaysia Berita

Safawi: Berat hati tinggalkan JDT, tapi ini peluang sekali seumur hidup

Safawi Rasid mengakui beliau berat hati untuk meninggalkan JDT, selepas empat tahun bersama juara Liga Super itu.

Namun, selepas mengecapi pelbagai kejayaan termasuk membantu pasukan meraih kejuaraan Liga Super kali ketujuh pada musim ini, Safawi merasakan tiba masanya untuk beliau melebarkan sayapnya di Eropah apabila bersetuju untuk menyertai kelab Portugal, Portimonense secara pinjaman selama satu musim.

Beliau dijangka tiba di Porto petang esok menjelang tarikh akhir jendela perpindahan liga Eropah yang berakhir pada Isnin.

“Berat hati sebenarnya nak tinggalkan JDT,” katanya kepada Bernama.

“Sudah empat tahun bersama, banyak pencapaian saya raih dan banyak memori manis dicipta.

“Tapi saya sangat gembira kerana peluang ini datang sekali seumur hidup.

“Pengalaman ini tidak boleh dibeli dengan wang dan akan saya ingat sampai bila-bila.

“Sasaran utama saya adalah membuktikan kemampuan dan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.”

Sepanjang beraksi dengan JDT, Safawi telah menjaringkan 47 gol dalam 101 penampilan dalam kesemua pertandingan tempatan dan antarabangsa.

Safawi turut diiktiraf sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) pada 2018 dan 2019 sekali gus menjadikan beliau pemain paling muda memenangi anugerah MVP pada usia 21 tahun.

Safawi menjadi pemain Malaysia kedua yang berhijrah ke Eropah selepas Luqman Hakim Shamsuddin yang menyertai kelab liga Belgium, KV Kortrijk pada bulan Ogos lalu.