Luar Negara Berita

Rashford dalam pemerhatian Barcelona

Marcus Rashford telah disenarai pendek sebagai pemain yang bakal menggantikan Luis Suarez di Barcelona bersama-sama dengan tiga pemain lain.

Menurut akhbar Mundo Deportivo, penyerang muda Manchester United itu adalah antara nama yang cuba ditandatangani oleh kelab gergasi Sepanyol tersebut.

Dikhabarkan, juara La Liga musim lalu bakal cuba mendapatkan penyerang kelahiran England pada jendela perpindahan musim panas nanti.

(Photo by Julian Finney/Getty Images)

Pemain berusia 21 tahun itu masih mempunyai baki kontrak bersama United sehingga penghujung tahun 2020 dengan United mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak beliau setahun lagi.

Tetapi terdapat keraguan di kem Barcelona bagi mendapatkan beliau yang berada di puncak karier bersama United setelah kedatangan pengurus sementara United, Ole Gunnar Solskjaer. Red Devils dilaporkan sedang berada di tahap perbincangan dengan pemain tersebut bagi perjanjian baharu dan mahu beliau kekal di United seperti yang dilakukan oleh Anthony Martial, Januari lalu.

(Photo by TF-Images/Getty Images)

Selain daripada Rashford, Barca juga dikhabarkan cuba memancing penyerang Eintracht Frankfurt, Luka Jovic yang mempunyai musim yang baik di Bundesliga.

Beliau telah dikaitkan dengan Barcelona daripada musim lalu sebelum dipinjam keluar dari Benfica dan dikhabarkan bersedia untuk beralih angin ke Camp Nou pada musim panas ini.

Penyerang kiri Perancis, Antoine Griezmann juga berada di dalam senarai Barcelona pada perpindahan musim panas ini.

(Photo by Jeroen Meuwsen/Soccrates/Getty Images)

Walaubagaimanapun, beliau yang telah menjaringkan gol cantik buat Perancis pada perlawanan pembukaan kelayakan EURO 2020 menentang Moldova telah menafikan khabar angin tersebut.

“Saya sudah terbiasa dengannya dan sedikit bosan, setiap tahun ia sama, jadi saya sudah terbiasa dengannya,” katanya kepada Univision.