Malaysia Berita

Piya sedia barisi kesebelasan utama Kelantan

Pemain tengah Kelantan, Mohd Badhri Radzi tanpa berselindung menyatakan keinginan beliau untuk membuat penampilan semula bersama skuad Kelantan dalam perlawanan Liga Perdana menentang Terengganu FC II (TFCII), Jumaat ini.

Piya sebelum ini dkhabarkan telah berehat panjang akibat kecederaan yang dialami setelah membuat pusingan ‘U’ apabila kembali bersama Kelantan setelah pasukan baharunya, Perlis dibatalkan penyertaan dalam Liga Malaysia.

Bercakap kepada Berita Harian, Piya menyatakan hasrat untuk membuat penampilan ‘sulung’ bersama skuad Red Warriors pada aksi Liga Perdana.

“Jika dapat diturunkan pada Jumaat ini, saya akan memastikan pasukan akan buat yang terbaik sebab kita mengetahui Kelantan mempunyai pemain muda yang bagus dan di kalangan mereka mempunyai pengalaman di peringkat kebangsaan.

“Dari segi latihan saya sudah kembali berlatih dan mempersiapkan diri untuk beraksi termasuklah membentuk keserasian dengan pemain yang lain.

“Saya yakin dengan kelebihan kita bermain di halaman sendiri, Insya-Allah kemenangan dapat berpihak kepada Kelantan dan saya juga harapkan adalah sokongan padu dari semua penyokong untuk turun memberi semangat kepada pemain,” katanya.

Beliau juga percaya pada kemampuan skuad Kelantan untuk kembali ke saingan Liga Super.

“Sekiranya ia berjalan dengan baik dan semua pemain memberi fokus dan mendengar segala arahan yang diberi jurulatih, saya yakin Kelantan akan mampu kembali ke saingan Liga Super bagi tahun depan,” katanya.