Liga Super Malaysia Berita

Janji TMJ kepada peminat Valencia, jika beliau menjadi pemegang saham

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi memberikan bayangan kuat bahawa beliau akan melengkapkan proses pengambilalihan kelab La Liga, Valencia tidak lama lagi.

Dalam catatan terbaru di akaun Twitter miliknya, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak akan sekali-kali membelanjakan wang di luar negara tanpa sebarang sebab.

Sebaliknya, beliau hanya melakukannya kerana minat mendalam terhadap bola sepak.

“Pertama sekali, saya bukan ahli perniagaan. Mengapa saya mahu membazirkan wang saya dan membelanjakannya di negara asing.

“Sekiranya saya melakukannya, ia adalah untuk cabaran semata-mata dan projek yang saya rasa berbaloi. Ia atas dasar semangat, tekad dan cintakan bola sepak semata-mata. Tidak ada main politik, dan tidak ada penipuan.”

Pada masa sama, TMJ mengakui beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai pemilik kelab, sebaliknya mengatakan bahawa kelab itu adalah milik peminat.

“Saya mempunyai banyak rakan dalam bola sepak. Tetapi tiada siapa yang tahu rancangan atau niat saya.

“Orang pertama yang akan tahu, adalah kelab saya dan peminat kelab. Peminat wajar mengetahui kerana ia adalah kelab anda, bandar anda.

“Saya boleh memiliki saham, tapi kelab itu milik peminat. Saya hanya penjaga.”

Justeru, TMJ memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan kelab berada dalam keadaan terbaik jika menjadi pemegang saham kelab nanti.

“Ini adalah pendapat peribadi saya atas dasar prinsip, terutamanya sebagai orang asing dan “JIKA” saya menjadi pemegang saham.

“Tanggungjawab saya adalah memastikan kelab ini berada pada prestasi terbaik kerana kelab ini kaya dengan sejarah dan perlu berada di tempat yang sepatutnya kelab ini berada, supaya penduduk-penduduk dari bandar ini boleh bangga dengan kelab ini.”