Wan Kuzri Wan Kamal dikatakan tertekan dengan perhatian yang diberikan oleh beberapa pihak, sehingga mengganggu tumpuannya sepanjang bersama dalam kem skuad kebangsaan B-19.
Bernama melaporkan bahawa terlalu banyak pendedahan dan perhatian telah memberikan impak yang negatif kepada pemain berusia 18 tahun itu.
Malah, laporan itu mengkritik prestasi Wan Kuzri dan mendakwa bahawa pemain itu masih belum dapat membuktikan keupayaan sebenar dalam dua perlawanan persahabatan.
Dua perlawanan itu menyaksikan skuad B-19 tewas 6-1 kepada skuad Liga Super, PJ City FC dan kalah 4-0 kepada Selangor 2.
Bagaimanapun, Wan Kuzri dilihat enggan melayan sebarang kritikan, sebaliknya mahu menghadapi tekanan tersebut dengan profesional.
“Terdapat terlalu banyak perhatian pada saya,” katanya kepada Bernama.
” Tentunya anda boleh lihat itu sebagai satu tekanan, tetapi saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya.
“Jadi saya akan cuba laluinya dari sehari ke sehari.”
Jurulatih skuad B-19, Brad Maloney turut tampil mempertahankan prestasi Wan Kuzri.
“Dia seorang pemain yang berbakat, bagus dalam menghantar bola, etika kerja yang bagus, sikap yang bagus dalam permainan, beliau tentunya satu aset penting kepada pasukan.”
Kejohanan AFC B-19 2020 yang akan berlangsung dari 14 hingga 31 Okt di Uzbekistan akan menjadi pusingan kelayakan untuk Piala Dunia U-20 2021.