Kylian Mbappe muncul wira Perancis selepas meledakkan satu gol dan memulakan dua gerakan bagi membantu Perancis membelasah Iceland 4-0 di Stade de France, awal pagi tadi.
Kemenangan ini memberi kedudukan selesa buat Perancis yang berada di tangga teratas Kumpulan H kelayakan EURO 2020 dengan mengumpul enam mata hasil daripada dua kemenangan daripada dua perlawanan pertama.
“Ia adalah matlamat kami untuk mengutip enam mata,” kata pengendali Perancis, Didier Deschamps.
Pengendali Perancis turut memuji persembahan yang dipamerkan oleh anak buahnya apabila bijak mengatur perlawanan.
“Apabila pihak lawan bermain secara bertahan, ia pasti sukar untuk menembusinya. Jadi, ini adalah petanda yang positif untuk pasukan,” katanya.
Manakala bagi pengendali Iceland, beliau terpaksa akur selepas kalah dengan juara dunia.
“Mereka adalah juara dunia dan kamu dapat melihatnya hari ini,” kata pengendali Iceland, Erik Hamren. “Lima percubaan ke arah pintu gol dan mereka menjaringkan empat gol. Itu persembahan bertaraf dunia.”