Malaysia Berita

Kemenangan ke atas China buka jalan ke Bangkok

Pengendali skuad Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee percaya dengan kemampuan anak buahnya dalam memberi kejutan apabila mereka bakal bertemu China esok pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan J dalam pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, esok.

Biarpun China yang dikendalikan oleh Guus Hiddink telah membelasah lawan masing-masing pada dua perlawanan awal – Laos dan Filipina – dan dilihat sebagai misi sukar buat Ong Kim Swee.

Beliau tetap optimis dengan kemampuan pemain dan berharap pemain menggunakan peluang bermain dihalaman sendiri bagi merebut tempat layak secara automatik ke pusingan akhir di Bangkok.

Memetik kata-kata beliau kepada Arena Metro, “sudah tentu kita perlukan strategi ampuh, China sebuah pasukan yang hebat dan mereka mencatat 13 gol keseluruhan. Itu menunjukkan betapa bagusnya mereka. Perlawanan esok tidak mudah tetapi bukan mustahil.

“Seperti saya katakan sebelum ini, mereka pasukan yang hebat sementara kita cuma sederhana namun kadangkala pasukan sederhana juga boleh mencipta kejutan.

“Apa yang penting kita turun menentang China dengan satu objektif iaitu kita perlu menang untuk layak secara automatik,” katanya

Malaysia sebelum ini berjaya menundukkan Filipina 3-0 pada perlawanan pertama Kumpulan J sebelum menewaskan Laos 1-0 semalam dengan jaringan tunggal dihadiahkan oleh Safawi Rasid yang masuk pada minit ke-53.