Piala Malaysia Berita

Kami Patut Digeruni – Paunovic

Pemain berusia 33 tahun dari Serbia, Rodoljub Paunovic sudah bersiap sedia untuk membawa Sabah mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2003.

Penyerang import Sabah itu berkata, walaupun Sabah bukan pilihan untuk mara ke final, beliau mengingatkan lawan bahawa mereka telah menyingkirkan beberapa lawan dari Liga Super sebelum ini dan layak untuk digeruni oleh pihak lawan.

 “Kami hanya selangkah lagi untuk ke final dan kami tidak akan memberi sebarang alasan untuk mencapai ke arah itu, secara peribadi saya akan bekerja lebih keras pada aksi separuh akhir.

“Anda sedia maklum Perak pasukan yang bagus selain terbukti dengan rekod mereka dalam Liga Malaysia. Di atas kertas mereka mungkin pasukan pilihan, tapi kami faham situasi ini dan akan bekerja lebih keras untuk menyukarkan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Paunovic pemain kelahiran Serbia itu mengharapkan penyokong Sabah agar memenuhi Stadium Likas pada separuh akhir kedua, 21 Oktober depan.

“Pengalaman beraksi di hadapan lebih 20,000 penyokong pada suku akhir lalu menjadi memori indah buat saya. Saya harap perkara sama berulang.

“Selain itu, saya harap penyokong kami yang berada di Semenanjung akan turun beramai-ramai ke Ipoh untuk memberi sokongan.

“Walaupun suara mereka mungkin ditenggelamkan oleh penyokong tuan rumah, namun kehadiran mereka menjadi suntikan semangat buat kami,” katanya yang menjaringkan gol tunggal penentu kemaraan Sabah ketika menentang Kelantan di Likas.

Sabah akan bertandang ke Stadium Perak di Ipoh, Ahad ini bagi separuh akhir pertama.

Mereka bertemu Perak dalam tiga separuh akhir Piala Malaysia, menang dua kali pada 2002 dan 2003, namun tewas pada 2007.