Liga Super Malaysia Berita

Thomas Dooley tidak sangka fasiliti Pahang setaraf pasukan Liga Divisyen Ke-8 Jerman

Ketika Thomas Dooley menerima tawaran sebagai jurulatih Sri Pahang FC, beliau menjangkakan kemudahan latihan pasukannya tidaklah seteruk yang disangkakan.

Namun, sebaik sahaja beliau meninjau segala kemudahan latihan di Kuantan, beliau menyifatkan Sri Pahang mempunyai kemudahan yang setaraf dengan kelab Divisyen Ke-8 di Jerman.

“Saya datang dan melihat tempat latihan,” katanya kepada NST.

“Tidak ada bilik persalinan. Yang ada hanya padang dengan air yang keluar dari belakang konkrit.

“Saya bertanya di mana bilik persalinan dan jawapan yang saya dapat adalah kita tidak memilikinya. Soalan saya seterusnya di mana pemain boleh tukar pakaian? Saya diberitahu bahawa mereka mencuci pakaian mereka sendiri dan saya mengatakan ini harus diubah.

“Kami tidak dapat berlatih dengan betul di padang kerana keadaannya tidak bagus. Tetapi ada padang rumput iaitu 350 meter dari Stadium Darul Makmur, ia berusia beberapa tahun tetapi rumputnya dari generasi baharu.

“Anda mahu pemain-pemain bermain di hadapan 80,000 penonton tetapi mereka mencuci pakaian mereka sendiri dan menukar pakaian dalam kereta. Ini hanya berlaku di Liga Divisyen Ke-8 di Jerman, dan Liga Super adalah liga terbaik di Malaysia.”

Dooley menegaskan tidak salah beliau membuat perbandingan dengan bola sepak Eropah memandangkan beliau telah berkhidmat dalam dunia bola sepak selama hampir 59 tahun.

“Saya bukan jurulatih terbaik, mungkin ada 1,000 jurulatih lain yang lebih baik tetapi sekurang-kurangnya saya mengetahui sesuatu kerana saya dibesarkan di Jerman di mana terdapat bola sepak di rumah, sekolah, tempat kerja, di bandar dan semua orang hanya bercakap mengenai bola sepak.

“Saya telah bermain bola sepak sejak berusia sembilan tahun dan tinggal di sebuah negara di mana bola sepak adalah segala-galanya, dalam perbualan dan pertemuan. Saya telah bermain secara profesional dan dilatih oleh yang terbaik di Eropah.

“Di Malaysia, bukannya tidak ada jurulatih yang baik yang berpengetahuan dalam semua hal. Tetapi Malaysia boleh melakukannya dengan lebih baik, boleh melakukan perubahan dan boleh mula mengubah dengan perkara-perkara kecil terlebih dahulu.”

Bagaimanapun Dooley tidak menghadapi masalah dengan para pemainnya, sebaliknya beliau gembira dengan sikap pemain Pahang.

“Saya meminta pemain untuk datang lebih awal dan saya memberi mereka contoh bagaimana pemain Real Madrid datang lebih awal. Pemain muncul pada hari berikutnya kira-kira setengah jam hingga satu jam sebelum latihan, dan duduk selama setengah jam lagi. Itu positif dan itulah yang kita perlukan untuk membina pasukan.”