Malaysia Liga Super Malaysia

Tribe Ratings Pemain: Kuala Lumpur kutip tiga mata pertama di tempat lawan, Ifedayo terus tunjukkan taring

Dua jaringan Ifedayo gagal membantu Melaka United menghalang Kuala Lumpur memungut tiga mata pertama di tempat lawan musim ini.

Kuala Lumpur menunjukkan kebangkitan menakjubkan di separuh masa kedua untuk menang 4-2. Indra Putra menjaringkan gol ke 1500 Kuala Lumpur dalam perlawanan kompetitif. Kuala Lumpur juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Zhafri Yahya dibuang padang.

Tribe Ratings Pemain Melaka

Tribe Ratings Pemain Kuala Lumpur

Sharbinee Allawee  - 6/10

Jika perlawanan pertama Sharbinee cukup mantap, nampaknya dua kali bertemu Melaka United, Sharbinee terus dikecewakan oleh barisan pertahanannya. Dengan barisan pertahanan seperti itu, Gianluigu Buffon juga akan bergelut mendapatkan clean sheet. Namun, dia berjaya bertahan dengan baik ketika Kuala Lumpur mendahului dan Melaka United mula mengasak mencari gol penyamaan.

Boburjon Akbarov - 4/10

Dalam perlawanan pertama, dia berganding dengan Achmad Jufriyanto, malam ini dia bergandingan bersama Hisyam. Boburjon nampaknya tidak memberikan pertahanan secukupnya ketika Melaka membuat hantaran tinggi. Dia tidak menyerang bola dan mudah terpedaya dengan pergerakan pemain lawan.

Hisyamudin Sha'ari - 4/10

Sama seperti gandingannya, Boburjon, Hisyam tidak menguasai bola ketika Melaka membuat hantaran. Seringkali dia dan Boburjon sekadar 'ball watching' ketika Melaka membuat hantaran.

Syazwan Andik - 6/10

Persembahan Syazwan kali ini lebih bagus. Dengan Irfan yang disiplin membantu pertahanan, dia mendapat lebih banyak peluang untuk melakukan overlapping. Namun, dia juga bertanggungjawab membenarkan Ifedayo menjaringkan gol kedua apabila dengan mudah Ifedayo menyelinap di depannya untuk menanduk bola.

Hafiz Johar - 4/10

Berdepan Ifedayo dan Gopinathan, Hafiz tetap mahu melakukan overlap. Hantaran silangnya tidak menjadi dan bergelut ketika bertahan. Perlu mempertingkatkan aksi jika mahu merebut slot bek kanan mengatasi Firdaus Faudzi.

Irfan Zakaria - 7/10

Lebih disiplin. Berbanding perlawanan di Cheras, Irfan lebih banyak beraksi sebagai pemain tengah bertahan dan membantu pertahanan. Bergandingan baik dengan Zhafri Yahya terutamanya di separuh masa kedua. Ketika Kuala Lumpur mahu mencari kemenangan, dia disiplin di bawah dan mengawal permainan dengan baik.

Zhafri Yahya - 7/10

Bergandingan baik dengan Irfan Zakaria di bahagian tengah. Jika Irfan memberikan ketenangan, Zhafri pula menjadi pemain yang membuat kerja kotor persis Ander Herrera. Diarahkan keluar selepas menerima dua kad kuning dalam perlawanan ini.

Indra Putra  - 9/10

Siapa sangka, jaringan ke 1500 Kuala Lumpur dalam perlawanan kompetitif dijaringkan oleh seorang pemain yang ibarat lagenda di Malaysia. Indra Putra dengan reaksi pantas menanduk masuk hantaran lintang De Paula yang ditampan lemah Zamir Selamat. Indra Putra menunjukkan aksi melampaui usianya. Dia rajin mengejar setiap bola dan ketika Kuala Lumpur beraksi dengan 10 orang pemain, dengan tenaga terakhirnya dia menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan ini.

Paulo Josue - 7/10

Malam ini mungkin bukan persembahan terbaik Paulo Josue. Dia tidak seefektif seperti biasa, tetapi cukup untuk membantu Kuala Lumpur menang.

Zaquan Adha - 8/10

Seorang pemain yang cukup bertenaga. Larian pantasnya sering menjadi bahaya kepada barisan pertahanan Melaka United terutamanya Azmi Muslim di bek kiri. Berjaya melepasi barisan pertahanan Melaka untuk menjaringkan gol penyamaan Kuala Lumpur dan memenangi sepakan penalti biarpun mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan selepas itu.

Guilherme De Paula

Memeningkan kepala pertahanan Melaka United. Kekuatan fizikalnya begitu ketara tidak kira ketika berdepan Khair Jones atau Swirad. Hantarannya memberikan gol pertama Kuala Lumpur dan sepakan penaltinya begitu kencang dan gagal diselamatkan oleh Zamir Selamat.

Pemain gantian

Ashri Chuchu menggantikan Zaquan Adha

Saifulnizam Miswan menggantikan Hafiz Johar

Achmad Jufriyanto menggantikan Indra Putra