Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Mohamed menganggap Austin Amutu dan Issey Nakajima-Farran bakal menjadi sandaran baharu buat pasukan Pahang pada baki saingan musim ini.
Katanya, kedua-dua pemain import itu akan menggantikan Francis Forkey Doe disebabkan kecederaan jangka panjang dan Chan Vathanaka yang bergelut dengan masalah prestasi.
“Oleh itu, kehadiran Amutu dan Nakajima diyakini akan membantu jentera pasukan yang lebih mantap dan Tok Gajah boleh kembali berada pada prestasi terbaik.
“Berbekalkan pengalaman dimiliki mereka kerana pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia, ia diharap memberi kesan positif,” katanya kepada Berita Harian.
Penyertaan Amutu dan Nakajima-Farran memperkuatkan lagi pasukan Pahang yang turut ditunjangi tiga lagi pemain import iaitu Patrick Cruz, Mohamadou Sumareh dan Safuwan Baharudin.
Tambah Suffian, kecederaan serius dialami Forkey Doe ternyata memberi kesan kepada Pahang di bahagian serangan dan kehadiran Amutu dengan gandingan Patrick Cruz diharap dapat membantu menjaringkan gol dengan lebih mudah sekali gus mengutip tiga mata penuh dan memberi saingan yang lebih sengit dalam Liga Super.
“Nakajima yang menggantikan tempat Vathanaka pula dapat membantu memperkemaskan jentera tengah iaitu bergandingan dengan Sumareh dan pemain tempatan,” katanya.
Selepas 10 perlawanan, Pahang menduduki tangga ketiga dengan mengutip 18 mata di belakang JDT selaku pendahulu liga dengan 25 mata dan Perak di tangga kedua dengan 20 mata.