Santai Luar Negara

Legenda kelab yang bakal meninggalkan pasukan masing-masing pada hujung musim ini

Dalam dunia bola sepak, setiap musim yang berakhir pasti akan diikuti dengan beberapa perpisahan. Banyak legenda daripada sesebuah kelab yang membuat keputusan untuk berpindah atau bersara pada akhir musim.

Sama juga pada musim 2017/18, dimana banyak legenda bola sepak dunia yang begitu berpengaruh di dunia akan pergi. Siapakah mereka?

Yaya Toure

Pemain tengah yang amat lasak ini adalah legenda bagi Manchester City. Dia muncul selaku pemimpin dan juga mengawal tempo pasukannya, sekurang-kurangnya sehingga dimamah usia dan juga kehadiran Pep Guardiola. Dia membawa City meraih tiga gelaran Liga Perdana Inggeris, sehingga akhirnya menamatkan kontrak pada akhir musim ini.

Per Mertesacker

Tanpa ragu, Mertesacker menjadi satu contoh pemain yang begitu dicintai di Emirates. TIba ke Arsenal pada 2011, dia berubah menjadi seorang pemimpin dan akhirnya diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan pada musim 2014/15. Dia membawa Arsenal menjulang Piala FA sebanyak tiga kali.

Arsene Wenger

Bukan hanya kapten, Arsenal juga akan ditinggalkan oleh pengurus legenda mereka. Wenger memutuskan untuk bersara pada akhir musim ini selepas 22 tahun di England. Dia mungkin telah kehilangan sentuhannya dalam beberapa tahun terakhi tetapi kejayaan mengemudi pasukan melalui musim tanpa kalah dalam semusim dan muncul watak yang mengubah wajah Arsenal akan dikenang sepanjang masa.

Andres Iniesta

Sejak menembusi skuad utama Barcelona pada 2002, Iniesta tidak pernah berhenti. Dia membawa Blaugrana menjadi salah sebuah pasukan terbaik sepanjang masa menerusi sembilan trofi LaLiga, empat Liga Juara-Juara dan enam Piala Raja Sepanyol. Kelibatnya akan dirindukan di Catalonia selepas membuat keputusan untuk berhijrah pada akhir musim ini.

Michael Carrick

Salah seorang pemain tengah yang hebat tetapi tidak diberikan perhatian. Dia bersara pada akhir musim ini selepas 12 tahun berbakti buat Manchester United, menyumbang lambakan trofi termasuk satu Liga Juara-Juara dan lima Liga Perdana Inggeris.

Jupp Heynckes

Heynckes datang ke Bayern Munich pada musim ini selaku penyelamat selepas malapetaka yang dilakukan oleh Carlo Ancelotti. Bagaimanapun, apa yang telah dilakukan Heynckes buat Bayern adalah jauh lebih besar berbanding prestasi pada musim ini apabila meraih empat trofi Bundesliga dan satu Liga Juara-Juara. Sudah berusia 72 tahun, tentunya wajar untuk Heynckes apabila mengumumkan untuk bersara pada akhir musim.

Xabi Prieto

Prieto adalah salah seorang pemain yang jarang dijumpai dalam bola sepak moden. Sejak memulakan karier bersama Real Sociedad, dia tidak pernah berpindah sehingga memutuskan untuk bersara pada akhir musim ini. Terkenal dengan gelecekan dan kesempurnaan dengan bola mati, Prieto diberikan sambutan perpisahan yang manis oleh kelabnya apabila meletakkan wajahnya di lambang kelab dalam aksi terakhirnya.

Steffan Kiessling

Selepas 12 tahun berbakti buat Bayer Leverkusen, Kiessling akhirnya memutuskan untuk menamatkan kariernya pada akhir musim ini. Penyerang yang terkenal dengan jumlah jaringan ini muncul luar biasa buat Leverkusen apabila mengutip 131 gol. Penyerang tinggi lampai ini juga pernah bergelar penjaring terbanyak Bundesliga pada musim 2012/13 dengan 25 gol.

Roman Weidenfeller

Penjaga gol Borussia Dortmund ini akhirnya bersara selepas 16 tahun beraksi bersama Der BVB. Dia menjadi kapten pasukan sewaktu Dortmund menjuarai Bundesliga secara berturut-turut pada 2010/11 dan 2011/12, serta menjadi naib juara Liga Juara-Juara ketika musim 2012/13.