Liga Super Malaysia Berita

Pemain Kedah tetap beri 100 peratus walaupun gaji tertunggak – Nafuzi

Jurulatih Kedah, Nafuzi Zain merakamkan penghargaan kepada pemainnya yang mempamerkan persembahan meyakinkan dalam saingan Liga Super menentang Negeri Sembilan semalam, meskipun dipalit isu tunggakan gaji.

Ini susulan pengakuan pemilik pasukan Kedah Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bahawa pasukannya kini berdepan masalah kewangan yang menyebabkan bayaran gaji pemain, jurulatih dan pegawai pasukan tertunggak sejak Ogos lalu.

Beliau berkata pemain berupaya memberikan tumpuan dan meraih kemenangan justeru berharap ia dapat diteruskan dalam perlawanan seterusnya bagi memburu tangga kedua liga dan tiket ke Piala AFC musim depan.

“Saya sangat berterima kasih kepada pemain saya, kita memahami situasi tersebut (tunggakan gaji) tapi dari segi komitmen pemain, mereka tetap memberi 100 peratus komitmen dan dari segi latihan mereka tetap hadir menjalani latihan.

“Mungkin benda itu sukar tetapi pemain sudah memahami situasi yang berlaku dan mengetahui tindakan yang dilakukan pihak pengurusan yang berjanji untuk menyelesaikannya.”