Liga Super Malaysia Berita

Kedah hilang mata lagi, Sabah unggul di Kota Kinabalu

Hasrat Kedah untuk kembali di tempat kedua Liga Super tidak kesampaian apabila terikat seri 1-1 ketika berdepan Perak di Ipoh, malam tadi.

Kedua-dua pasukan bergelut untuk mencipta peluang di depan gol dan mengambil sehingga ke separuh masa kedua untuk memecah kebuntuan.

Perak mendahului hasil tandukan Guilherme de Paula pada minit ke-58.

Namun, Kedah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-79 hasil kombinasi di bahagian serangan apabila Kipre Tchetche membawa lari bola sebelum menghantar ke arah Kpah Sherman yang mudah merembat masuk melepasi penjaga gol Perak, Hafizul Hakim.

Keputusan kekal hingga tamat perlawanan, menjadikan Kedah kekal di tempat ketiga Liga Super dengan 17 mata manakala Perak berada di tempat ke-9 liga dengan mengumpul 9 mata daripada 9 perlawanan.

Di Kota Kinabalu, Sabah mencatatkan kemenangan kedua yang bergaya apabila menewaskan pasukan tercorot liga, UiTM FC 4-0 di Stadium Likas.

Penyerang import, Sam Johnson menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-28 sebelum pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani menggandakan jaringan pada minit ke-41.

Pertahanan Korea Selatan, Park Tae-su menjaringkan gol ketiga pada minit ke-50 sebelum penyerang veteran berusia 37 tahun, Bobby Gonzales melengkapkan kemenangan dengan gol pada minit ke-87.

Kemenangan itu melonjakkan kedudukan Sabah ke tangga ke-8 dengan 9 mata selepas 9 perlawanan manakala UiTM kekal tercorot dengan hanya 1 mata tanpa mencatatkan sebarang kemenangan selepas 9 perlawanan, malah hanya menjaringkan 3 gol dan bolos 20 kali.