Liga Premier Malaysia Berita

Annuar Musa tidak minat terajui semula KAFA

Walaupun Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menghadapi pelbagai masalah kewangan, Tan Sri Annuar Musa mengakui tidak berminat untuk menerajui semula persatuan itu buat masa ini.

Ini selepas badan bolasepak negeri Kelantan itu merehatkan presiden Datuk Abdul Rahim Wan Abdullah serta timbalan presiden Datuk Seri Afandi Hamzah dan melantik Datuk Shaari Mat Husin sebagai pemangku KAFA.

Keputusan itu dibuat kemungkinan disebabkan kegagalan pimpinan menangani masalah kewangan, hutang lama serta tunggakan gaji pemain walaupun sudah diberikan peluang berkali-kali.

KAFA sudah pun membuat bayaran secara ansuran dengan persetujuan semua bekas pemain termasuk bekas kapten Badhri Radzi.

Namun, Kelantan FA mula menghadapi masalah yang meruncing apabila berdepan kehilangan sumber pendapatan selepas Liga Malaysia ditangguhkan ekoran wabak COVID-19.

Malah, FIFA mengarahkan KAFA untuk melunaskan gaji melibatkan bekas pemain import Cassio, Bruno Lopes dan Alaeddin Bouslimi dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 juta.

KAFA bertindak melancarkan Tabung Selamatkan Bolasepak Kelantan namun masih gagal mendapatkan jumlah yang dikehendaki.

Keadaan bertambah buruk apabila Datuk Wan Rakemi Wan Zahari meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Team Red Warriors Sdn Bhd, malah penaja utama After Image Sdn Bhd menarik diri daripada mengurus dan membiaya Kelantan FA selepas mengakui terkesan dengan situasi ekonomi semasa.

Justeru, kepimpinan KAFA mula meminta bantuan kewangan daripada pelbagai pihak termasuk FAM, MFL, kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan persekutuan.

Namun, Annuar yang sebelum ini meluahkan rasa simpati dan memberi bayangan bahawa beliau akan terus membantu Kelantan dilihat tidak berminat untuk memegang jawatan presiden sekali lagi.

Ini selepas Berita Harian melaporkan bahawa Annuar memberi jawapan yang cukup ringkas terhadap persoalan tersebut iaitu “tidak”.

Bagaimanapun, jawapan itu tidak mengejutkan kerana Annuar sedang memberikan tumpuan penuh kepada tanggungjawabnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan buat masa ini.