Malaysia Berita

FAM: Dokumen Marcel Kalonda tidak sahih, tidak layak wakili Malaysia

FAM akhirnya membuat keputusan bahawa Marcel Kalonda tidak layak wakili negara, berdasarkan semakan dan penyiasatan menyeluruh oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap semua dokumen berhubung dakwaannya yang mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia.

Keputusan itu dibuat setelah JPN mendapati salah satu dokumen penting yang dikemukakan oleh Marcel Kasongo Kalonda didapati tidak sahih.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata selepas tersebar dakwaan mengenai Kalonda yang dikatakan memiliki darah campuran Malaysia serta memiliki bapa dan datuk yang berasal dari Sabah, langkah pertama diambil adalah menghubungi sendiri pemain itu bagi mendapatkan pengesahan daripadanya.

Stuart berkata pihak FAM menjelaskan kepada Kalonda mengenai syarat kelayakan pemain untuk mewakili skuad kebangsaan dan meminta pemain berkenaan menyerahkan dokumen-dokumen yang diperlukan bagi tujuan pengesahan dan penelitian kesahihannya.

Setelah menerima dokumen-dokumen lengkap daripada Kalonda, Stuart berkata FAM menghubungi pelbagai pihak bagi mendapatkan kesahihan, termasuk Persekutuan Bolasepak Congo (FECOFOOT), wakil konsulat Congo di Malaysia serta JPN bagi semakan dan pengesahan dokumen berkaitan.

“Susulan itu, semalam FAM telah menerima surat maklum balas daripada JPN memaklumkan bahawa selepas semakan dan siasatan dibuat, satu daripada dokumen berkenaan didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

“Selepas menghubungi Kalonda untuk memaklumkan hasil semakan dan siasatan JPN itu, FAM dengan ini membuat keputusan untuk menutup terus proses dan langkah berikutnya.

“FAM cukup tegas dalam proses pengesahan status pemain dan kami tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi sebelum pakar-pakar teknikal melakukan penilaian terhadap tahap dan prestasi pemain berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Stuart menasihatkan semua pihak terutama netizen dan peminat bola sepak negara supaya tidak terlalu ghairah atau cepat teruja apabila mendengar berita mengenai seseorang pemain itu mempunyai darah campuran Malaysia.

“Adalah menjadi tanggungjawab FAM untuk mengambil langkah susulan dengan melakukan siasatan, penelitian dan pengesahan sebelum membuat apa-apa kenyataan rasmi dan atas sebab itulah FAM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung Kalonda.

“Pada masa yang sama, FAM memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen kewarganegaraan Malaysia dan kedaulatan negara,” katanya.