Malaysia Berita

Wan Kuzri sudah tiba di Malaysia, tapi perlu jalani kuarantin

Wan Kuzri Wan Kamal menjadi satu-satunya pemain yang akan sertai kem latihan pusat skuad B-19 selepas tempoh kuarantinnya berakhir.

Pemain akademi kelab Amerika Syarikat, St. Louis itu baru sahaja tiba di Malaysia dan perlu mematuhi SOP kuarantin sebelum dibenarkan menyertai pasukan negara.

Ini selepas FAM mengumumkan seramai 34 pemain melaporkan diri ke kem tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam sebagai persiapan awal menghadapi Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

Seramai 17 pemain melakukan Ujian Calitan atau ‘Swab Test’ manakala baki pemain lain sudah pun melakukan ujian tersebut bersama kelab masing-masing sebelum ini.

Brad Maloney selaku jurulatih skuad B-19 memberikan taklimat kepada para pemain sebelum menjalani sesi latihan pertama.

Taklimat itu melibatkan program latihan serta pegawai pentadbir pasukan berkenaan SOP yang perlu dipatuhi memandangkan kem latihan pusat sehingga 26 Julai 2020 ini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).