Liga Super Malaysia Berita

3 kali penyokong bakar suar, JDT didenda RM120k

JDT dikenakan hukuman denda berjumlah RM120,000 atas tindakan penyokongnya menyalakan suar pada tiga perlawanan Liga Malaysia 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.

Bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lwn Sabah, JDT didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya melakukan pembakaran suar dalam anggaran sebanyak 10 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

Bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lwn Kedah, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar secara serentak dengan jumlah lebih kurang 30 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

Bagi perlawanan Piala FA 2023, JDT lwn PDRM pada 14 April 2023, JDT didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya menyalakan 29 unit suar secara serentak dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong

“Biarpun tidak diberitahu secara umum sebelum ini, surat hukuman denda bagi kesalahan-kesalahan tersebut sebenarnya sudah dihantar ke JDT pada 31 Mei 2023,” kata Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.

“Dengan pemakluman ini, diharap ia dapat memberi penjelasan kepada umum bahawa tindakan dan hukuman telah pun diambil oleh FAM bagi kesalahan membakar dan menyalakan suar yang sememangnya masih dikuatkuasakan dalam Kod Tatatertib FAM.”