Liga Super Malaysia Berita

Kevin De Bruyne anggap pemain Kelantan hasilkan assist terbaik Liga Super 2023

Hantaran pemain Kelantan, Ikhwan Yazek sehingga mencipta jaringan ketika pasukannya menentang KL City dipilih sebagai assist kegemaran Liga Super oleh Kevin de Bruyne.

Ia satu penghormatan besar daripada pemain tengah Man City itu yang mengungguli carta assist dalam Premier League dengan 16 assist ketika ini, jauh meninggalkan pemain lain musim ini.

Beliau diberi pilihan untuk memilih assist dari empat pemain musim ini, iaitu Habib Haroon lawan Kuching City, Fernando Forestieri lawan KL City, Ikhwan Yazek lawan KL City dan Wan Zack Haikal lawan Kelantan.

Namun, beliau membuat keputusan untuk memilih assist dari Ikhwan Yazek.

“Memang cantik hantarannya, gol pun cantik,” kata De Bruyne ketika ditemu bual melalui rancangan Astro selaku penyiar rasmi Premier League dan Liga Malaysia.

“Bila pemain mewujudkan situasi satu lawan satu antara penyerang dengan penjaga gol, itu memang sesuatu yang bagus, tiada situasi lain sebaik itu.

“Cara dia menghantar bola di antara pemain pertahanan dan penjaga gol, sudah tentu gol yang dijaringkan adalah cukup cantik tapi dia memudahkan rakannya untuk menjaringkan gol.”