Piala FA Malaysia Berita

JDT, Terengganu, Kelantan, KL mara ke suku akhir Piala FA

Johor Darul Ta’zim, Terengganu, Kelantan, KL City melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA 2023.

Juara bertahan JDT menewaskan PDRM 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri, skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ketiga hasil hantaran pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi yang disudahi dengan rembatan Bergson da Silva.

Bagaikan luka berganda buat Sang Saka Biru selepas JDT dihadiahkan dua sepakan penalti oleh pengadil yang kemudiannya diterjemahkan kepada gol menerusi Bergson dan Leandro Velazquez masing-masing pada minit ke-12 dan 27 sebelum selesa menuju masuk ke bilik persalinan.

Babak kedua perlawanan, JDT mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan termasuk percubaan saat akhir Adam Farhan Mohd Faizal yang dengan mudah menolak masuk bola ke dalam gawang pelawat, namun dinafikan pengadil sekali gus menyaksikan keputusan kekal 3-0 kekal sehingga wisel ditiup.

Turut melangkah ke pusingan suku akhir, Terengganu yang menewaskan Melaka 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Terengganu.

Terengganu membuka tirai jaringan menerusi penyerang import kelahiran Croatia, Ivan Mamut seawal minit kelima permainan disusuli dengan gol kedua yang dihasilkan pemain gantian, Hakimi Abdullah pada minit ke-70 untuk meletakkan Terengganu di hadapan, 2-0.

Terengganu terus rancak menambah dua lagi jaringan gol menerusi Jordan Mintah masing-masing pada minit ke-82 dan pada masa kecederaan bagi menoktahkan kemenangan.

Kelantan dalam pada itu turut mencipta kemenangan 3-0 ke atas Manjung City untuk mara ke suku akhir pada aksi berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak.

Tiga gol dihasilkan skuad Red Warriors hasil jaringan Mario Arques Blasco pada minit ke-33 serta Nuha Marong Krubally masing-masing pada minit ke-59 dan minit ke-90.

Sementara itu, Kuala Lumpur City juga berjaya mara ke suku akhir selepas menewaskan Imigresen FC 2-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

KL City memperoleh gol hasil jaringan T.Saravanan pada minit ke-45 dan Romel Morales pada minit ke-83.