Liga Super Malaysia Berita

Bin Zayed International LLC penaja utama Kedah musim 2023

Bin Zayed International LLC diumumkan sebagai penaja utama pasukan Kedah bagi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Syarikat itu merupakan sebahagian daripada Bin Zayed Group, konglomerat yang berpangkalan di Dubai, UAE yang terlibat dengan industri pembinaan, tenaga, perdagangan, hartanah, teknologi dan perkhidmatan kewangan.

Bin Zayed International dimiliki oleh Sheikh Khaled Zayed Al Nahyan, salah seorang kerabat diraja Abu Dhabi.

Syarikat ini menjalin kerjasama rasmi dengan Widad Business Group Sdn Bhd (Widad) pada tahun lalu dan merancang untuk melabur kira-kira RM100 bilion di Malaysia untuk beberapa tahun akan datang.

“Tajaan nilainya cukup besar dan mampu memberi sokongan padu kepada kewangan pasukan,” kata pemilik Kedah, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar kepada pemberita di Stadium Darul Aman.

“Untuk yakinkan sebuah syarikat gergasi di UAE memerlukan satu naratif meyakinkan. Mereka sudah lama datang ke Malaysia untuk menjalankan perniagaan, maka saya ambil cabaran untuk tawar mereka peluang menjadi penaja antarabangsa pertama.

“Antara faktor yang membawa kepada penajaan ini adalah hubungan baik serta persahabatan yang lama. Mereka sudah mengenali saya dan percaya bahawa pasukan ini perlu diuruskan dengan baik kerana ianya akan melibatkan nama mereka selaku penaja utama.

“Akhirnya mereka yakin KDA FC boleh menjadi ‘wajah’ kepada bentuk tajaan dari Timur Tengah atau antarabangsa. Pengarah Urusan syarikat itu, Sheikh Midhat Kidwai juga mahu melihat kita menjadi pasukan yang boleh beri saingan kepada semua dalam Malaysia.”

Kedah juga mendapat tajaan daripada syarikat Kensana Health yang berpusat di Kanada.

Penajaan tempatan pula melibatkan Langkawi Pure (HHH Group Sdn Bhd); Energy Eco Berhad; Tek Financial (L) Limited; Cosmic Angle Travel & Tours Sdn Bhd; PayHalal (Souqa Fintech Sdn Bhd); BerryPay (M) Sdn Bhd; Data Sukan Sdn Bhd dan Lotto (Prestige Sports Sdn Bhd).

“Kesemua tajaan akan digunakan untuk tujuan sepatutnya dalam konteks pembangunan bola sepak KDA FC.

“Jadi saya perlu jaga amanah tersebut dan melalui apa yang dicetuskan ini, tahun depan kalau boleh kita nak tingkatkan lagi jumlah tajaan hingga mencecah 50 peratus daripada peringkat tempatan dan 50 peratus lagi untuk syarikat antarabangsa.”