Liga Super Malaysia Berita

Astro kembali siar Liga Malaysia selepas hampir 10 tahun

Astro kembali menjadi penyiar rasmi Liga Malaysia bagi musim 2023 selepas hampir 10 tahun menghilang.

Kali terakhir Astro menjadi penyiar rasmi adalah pada musim 2014, yang menyaksikan JDT muncul juara Liga Super kali pertama ketika itu.

Kolaborasi baharu ini menyaksikan Astro akan menyiarkan Liga Malaysia selama tiga tahun bermula 2023 hingga 2025.

Semua perlawanan yang akan disiarkan oleh Astro dalam definisi tinggi (HD) meliputi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia boleh di tonton di platform linear (TV), On Demand dan Astro GO.

Astro juga berjanji akan membawakan variasi persembahan dan penyampaian ulasan serta analisis di studio dari barisan pakar-pakar yang terdiri dari mereka yang berpengalaman dalam dunia bola sepak.

Kandungan eksklusif lain termasuk, sorotan perlawanan, sidang media praperlawanan, sesi latihan pemain, akses temubual pemain serta aktiviti menarik yang akan diadakan bagi memberi peluang dan pengalaman kepada peminat merasai kehangatan Liga Malaysia nanti.

Pelangan Astro juga dapat menikmati ganjaran istimewa lain seperti sesi beramah mesra bersama pemain kegemaran dan jemputan menonton perlawanan pilihan di stadium nanti.

Satu lagi rakan penyiar rasmi RTM pula akan menyiarkan secara langsung 75 perlawanan Liga Malaysia 2023 merangkumi beberapa saingan termasuk Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia menerusi saluran TV2, Sukan RTM dan TV Okey serta penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik.

Presiden MFL, Datuk Ghani Hassan berkata, kehadiran semula Astro bersama MFL sebagai petanda Liga Malaysia semakin mendapat tarikan secara tidak langsung akan meningkatkan profil liga dan juga kelab-kelab yang bertanding.

“MFL mengambil langkah cukup besar apabila menjalin kerjasama dengan Astro iaitu stesen penyiar yang cukup terkenal dan disegani dalam mempromosikan sukan khususnya bola sepak tanah air.

“Saya bagi pihak MFL amat berterima kasih kepada Astro kerana sudi melangkah bersama MFL kerana kami percaya dengan persaingan 14 pasukan elit dalam Liga Super serta kewujudan Piala MFL bagi pemain bawah 23 tahun menerusi penstrukturan semula Liga Malaysia, ia pasti akan menyuntik elemen baharu untuk disaksikan buat peminat tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menyifatkan keputusan memilih Astro semula adalah kerana mereka percaya stesen televisyen terkemuka tempatan itu adalah rakan ideal untuk berkerjasama dalam membangunkan Liga Malaysia.

“MFL telah mengambil satu langkah besar tahun lalu dengan mengumumkan penstrukturan semula Liga Malaysia dan kami percaya Astro adalah rakan ideal untuk menyiarkan lebih banyak perlawanan dan kualiti tontonan yang dimahukan oleh penyokong-penyokong selama ini.”

Kerjasama yang terjalin ini akan dimulakan dengan aksi saingan pembuka tirai Perlawanan Sumbangsih pada 24 Februari di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim.

“Penglibatan Astro kali ini pasti akan meningkatkan tarikan dan kesedaran mengenai perkembangan Liga Malaysia sekali gus dapat meningkatkan nilai komersial setiap perlawanan bagi mengukuhkan ekosistem bola sepak negara agar dapat dinikmati ramai pihak.”