Liga Super Malaysia Berita

Nafuzi: Saya terkilan dan kecewa dengan tawaran Terengganu

Nafuzi Zain mengakui beliau terkilan dan kecewa dengan cara Terengganu menawarkan kontrak kepada beliau.

Ini setelah jurulatih berusia 44 tahun itu mendedahkan bahawa beliau menerima tawaran kontrak baharu daripada kitman, malah ditawarkan tanpa sebarang rundingan terlebih dahulu.

“Saya menerima surat bertarikh 27 Okt, semasa perlawanan dengan Pahang tetapi surat itu diserahkan kepada saya pada 29 Okt oleh kitman pasukan,” kata Nafuzi dalam sidang media selepas perlawanan menentang KL City di Kuala Terengganu.

“Saya rasa sedikit terkilan di situ kerana rasa sayalah jurulatih pertama Malaysia dapat tawaran daripada kitman.

“Sedangkan kita kelab profesional, semua dah beralih kepada profesional, saya terkilan dan kecewa.

“Sepatutnya pengurusan perlu memanggil saya untuk berbincang mengenai tawaran kontrak, apa KPI, apa perancangan pasukan untuk memantapkan pasukan tahun depan kerana perlu penambahbaikan tapi saya diserahkan surat tawaran daripada kitman.

“Saya akan serahkan surat tersebut hari ini untuk jawapan saya, jadi semua boleh tanya pengurusan mengenai jawapan saya.”

Malah, beliau merasakan apa yang ditawarkan Terengganu membuatkan beliau berasa seolah-olah tidak dihargai.

“Surat tawaran itu hanya diletakkan KPI untuk saya, sama seperti situasi sebelum ini tanpa ada sebarang perbincangan dan hala tuju, hanya perlu jawab terima atau tidak.”

“Dekat sini tidak timbul soal bayaran atau gaji..itu bukan utama, yang penting saya nampak bagaimana sebuah pasukan menghargai jurulatih, pasukan dan pemain.

“Dengan segalanya yang telah saya berikan musim ini..final Piala FA, layak ke Piala AFC dan nombor dua Liga Super yang bukan mudah dan kita selangkah lagi ke final Piala Malaysia, saya terkilan.

“Saya rasa…saya tidak dihargai dan sepatutnya pengurusan profesional tidak seperti itu. Mereka perlu memanggil saya, bukan serahkan kepada kitman..terkilan dilayan seperti itu.”

Di sebalik kekecewaan itu, Nafuzi menegaskan perkara itu tidak akan menjejaskan Terengganu dalam Piala Malaysia.

“Apa jua pun, saya tetap fokus kepada pasukan dan ia sedikit pun tidak menjejaskan pasukan.

“Saya sendiri berjanji kepada peminat kita akan buat yang terbaik dan insya-Allah, ada rezeki sekali lagi kita ke final.

“Kita tahu jumpa Selangor bukan mudah, kita tengok sejak Tan Cheng Hoe ambil alih, mereka belum kalah lagi, semestinya Selangor ingin membalas kekalahan di separuh akhir Piala FA sebelum ini.”

Namun, katanya, Terengganu seharusnya bersikap lebih profesional terutama dalam soal perancangan masa depan pasukan.

“Kelab profesional tidak sepatutnya buat begitu. Masa depan jurulatih, hala tuju pasukan perlu diadakan satu perbincangan untuk persediaan pasukan tahun depan..apa perancangan pengurusan untuk memantapkan pasukan tetapi situasi itu tidak terjadi.

“Dan saya hanya perlu bersetuju dengan apa yang ditawarkan untuk saya walaupun saya tahu tawaran adalah sesuatu yang bukan mudah. Patutnya kedua-dua adakan perbincangan, itu cara yang terbaik.”

Ketika ditanya sama ada sikap pengurusan itu mempunyai kaitan dengan spekulasi penghijrahan beliau ke pasukan lain, Nafuzi enggan menggunakan isu itu sebagai alasan.

“Pengurusan berhak ke atas saya. Pengurusan adalah majikan saya. Pengurusan berhak menyambung atau tidak kontrak saya.

“Bagi saya, desas desus dengan rumours itu satu benda normal dalam bola sepak. Pengurusan berhak memanggil saya dan tanya saya sendiri apakah saya menerima tawaran dan perancangan pasukan tapi benda itu tidak terjadi.

“Saya hanya membuat kerja dan tanggungjawab saya adalah pemain dan pasukan. Apa pun saya perlu dipanggil bincang..boleh face to face dan direct dengan saya, apakah sebenarnya yang terjadi.

“Betul ke ada tawaran atau tidak, tapi saya tak pernah dipanggil jumpa sejak perlawanan dengan pasukan lain sehingga sekarang, sehingga saya dapat tawaran tersebut. Jadi, saya akan serahkan jawapan kepada pengurusan, jadi boleh bertanya dengan mereka mengenai jawatan tersebut.

“Sebagai kelab profesional, kalau nak saya atau tidak, ia harus diberi satu penghormatan yang baik dan cara yang baik. Saya tahu situasi jurulatih benda yang normal, sambung kontrak pertengahan musim..hujung musim tetapi harus secara profesional dan terhormat, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Saya rasa itu bukan pengurusan profesional, sebab kita diuruskan oleh orang-orang profesional sebagai jurulatih dan pasukan profesional.”

Ketika ditanya mengapa pengurusan bersikap demikian walaupun beliau telah membawa beberapa kejayaan, Nafuzi sendiri mengakui tidak memahami situasinya.

“Saya hanya yakinkan pemain dan pasukan saya untuk mencapai kemenangan..terus terang, pemain membantu saya, sokong saya dan memahami situasi saya lalui ini, sebab itu segala pencapaian kita untuk tahun ini tercapai, itu hasil daripada pemain untuk saya.

“Itu pengurusan yang boleh jawab benda itu…saya pun tak tahu, pengurusan pernah panggil berbincang dengan saya bertanya hala tuju saya dan sebagainya namun ia hanya diketahui selepas selesai mesyuarat Lembaga Pengarah sahaja, bukan dari pengurusan.

“Kontrak saya tamat 30 November ini dan saya serahkan surat dan jawapan, jadi tanya pengurusan..saya serahkan sendiri di pejabat.”

Walaupun begitu, beliau tetap berazam mahu membawa Terengganu ke final Piala Malaysia.

“Apa pun keputusan saya tidak menjejaskan persiapan perlawanan Piala Malaysia..saya dan pemain berjanji bermain untuk ke final.

“Saya rasa kita boleh mencipta sejarah dan keputusan saya ini keputusan terbaik untuk semua pihak, bukan untuk diri saya sahaja.

“Saya kalau pencapaian peribadi (Anugerah Bolasepak Kebangsaan), saya tak tengok sangat, saya lebih kepada prestasi pasukan dan keputusan. Yang penting ia beri kebaikan kepada pemain dan saya.”