Jenama minuman tempatan, Origina akan menaja Piala Malaysia 2022 yang bermula esok dan Liga Malaysia bermula musim 2023.
Pengumuman itu dibuat selepas MFL dan Origina menandatangani perjanjian hari ini, sekali gus dikenali sebagai Rakan Rasmi Minuman Jus dan Susu Liga Malaysia.
“Kerjasama antara MFL dan Origina merupakan satu detik besar bagi kami kerana ini merupakan kerjasama pertama kami dalam bidang sukan,” kata CEO Origina, Fatin Diana.
“MFL merupakan organisasi yang mengendalikan kejohanan bola sepak berprestij di Malaysia, maka kerjasama ini membuka peluang kepada kami untuk melibatkan diri dengan khalayak yang baharu dan melebarkan sayap Origina di kalangan rakyat Malaysia.
“Origina komited dalam memastikan semua rakyat Malaysia sentiasa kekal sihat dan bertenaga, kami terus berusaha dan kekal berdaya saing bagi menyediakan minuman yang bermanfaat dan penuh khasiat kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan MFL dan bertemu dengan penonton bola sepak Malaysia daripada pelbagai golongan. Pentas bola sepak Malaysia semakin gemilang dan meriah, Origina juga komited dalam menyampaikan semangat dan cinta yang sama.
“Kami juga berharap Origina akan menjadi minuman yang ideal untuk membantu menyegarkan bukan hanya pemain bola sepak malah atlet negara kita yang komited semasa latihan intensif untuk meningkatkan tahap prestasi permainan mereka.”
Kehadiran Origina dalam bola sepak Malaysia turut dialu-alukan oleh MFL.
“Kehadiran Origina telah memberikan satu mesej penting di mana syarikat ini menaruh keyakinan tinggi kepada Liga Malaysia yang sentiasa memberikan potensi serta pendedahan positif bukan sahaja kepada produk mereka tetapi penglibatan mereka di dalam liga tempatan,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.
“Dengan lebih banyak jenama baharu yang pada tradisinya tidak bersama bola sepak sudah mula menyertai Liga Malaysia, kami percaya Liga Malaysia kini membuktikan bahawa kami mempamerkan nilai korporat sebenar yang diperlukan dalam penajaan sukan moden.
“Kami percaya kerjasama dengan Origina akan memartabatkan bola sepak Malaysia dan kami juga teruja untuk mengembalikan nilai positif kepada Origina dan mengukuhkan lagi jenamanya menerusi aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan untuk mendekatkan lagi produk-produk mereka kepada peminat kelab Liga Malaysia.”