Liga Super Malaysia Berita

Masih ada 4 kes tunggakan gaji di Liga Malaysia

Masih terdapat 4 kes aktif melibatkan tunggakan gaji dalam kalangan pasukan Liga Malaysia walaupun telah melalui proses penswastaan sejak tahun lalu.

Ini selepas Melaka United dan Sarawak United tidak layak beraksi Liga Super musim depan apabila permohonan untuk mendapatkan lesen kebangsaan ditolak.

Mereka diberi tempoh hingga 19 Oktober untuk membuat rayuan.

Namun, MFL menegaskan, jumlah tunggakan gaji ketika ini adalah sedikit jika dibandingkan dengan 252 kes tunggakan yang direkodkan pada 2018.

“Kelab kini tampil lebih profesional, permainan di atas padang bertambah baik bagi membawa keseimbangan kepada industri,” kata MFL kepada Harian Metro.

Melaka berdepan masalah tunggakan gaji sejak 2020, malah pernah ditolak mata beberapa kali serta dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh FIFA.

Sarawak United juga dikenakan sekatan perpindahan musim ini dengan gaji pemain tertunggak selama 4 bulan.

Tahun lalu, Melaka dan Sarawak hanya diberikan lesen bersyarat kerana masih ada hutang yang tertunggak.

Namun, mereka tetap dibenarkan bertanding di Liga Super musim ini, walaupun akhirnya masih bergelut untuk membayar gaji dalam tempoh yang ditetapkan.