Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon tampil memberikan sebab mengapa Malaysia tidak perlu terlalu bimbang dengan perlawanan menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, berdasarkan kedudukan Bahrain dalam ranking FIFA ketika ini.
Ini kerana Bahrain menduduki tangga ke-89 dunia, jauh beza dengan Malaysia yang berada di tangga ke-147.
“Ranking sebenarnya menunjukkan apa yang mereka (Bahrain) sudah capai dalam beberapa tahun lepas,” jelas Pan-gon dalam sidang media hari ini.
“Ini bermakna, mereka mempunyai beberapa keputusan baik secara konsisten, boleh nampak di mana tahap mereka.
“Hormat itu hormat, tetapi pendekatan kita adalah berbeza, sebab kita yang pilih nak menang perlawanan, kita yang buat keputusan.
“Jadi, kita tidak perlu terlalu takut atau terlalu bimbang dengan ranking pihak lawan.
“Kita mahu tunjukkan kekuatan mental yang Malaysia ada, semangat juang kita, kita mahu peminat bangga, ini fokus kita ketika ini.”
Pada masa sama, Pan-gon juga memaklumkan kesemua pemain berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecedaraan.
“Selepas perlawanan Turkmenistan, kita fokus dengan proses pemulihan dan membantu mereka, memastikan mereka tidak mengalami kecederaan. Kebanyakan pemain pulih dengan cepat dan bersedia untuk perlawanan seterusnya.
“Dari segi taktik, kita tidak boleh gunakan terlalu banyak taktik, tetapi perlu meningkatkan tahap komunikasi antara pemain.
“Kita sudah melakukan banyak perkara untuk persiapan, walaupun tak banyak masa, tetapi saya yakin kita sudah bersedia untuk perlawanan esok.”