Liga Super Malaysia Berita

Kelantan tidak layak beraksi Liga Malaysia musim 2024/2025

Kelantan gagal memperolehi Lesen Kebangsaan sekali gus menyaksikan mereka tidak layak bertanding dalam saingan Liga Super musim 2024-2025.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) yang diadakan secara dalam talian pada 31 Disember 2023 lalu.

“Keputusan ini dibuat kerana Kelantan telah gagal untuk melengkapkan dua kriteria kewangan,” kata Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.

Katanya, kriteria itu menunjukkan bahawa Kelantan gagal menyelesaikan pembayaran terhadap kakitangannya serta LHDN, KWSP, Perkeso dan EIS sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

Pihak FIB menerima rayuan Kelantan tetapi tetap menjatuhkan hukuman denda kepada Kelantan sebanyak RM20,000 serta hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan seterusnya sehingga kesemua kes FIFA selesai sepenuhnya.

Pada 10 Disember 2023, pihak FIB telah menerima dokumen yang didakwa sebagai bukti pembayaran gaji pemain dan pegawai Kelantan untuk bulan Ogos 2023 namun pihak FIB mendapati bukti-bukti tersebut masih tidak mencukupi untuk mematuhi syarat pertama yang diberikan kepada Kelantan FC.

Pihak FIB juga telah melakukan semakan bersama PFAM dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi memastikan bahawa pembayaran gaji telah dilakukan oleh pihak Kelantan.

Namun begitu, setelah semakan dibuat, terdapat beberapa pemain dan pegawai yang masih belum menerima gaji bulan Ogos 2023 atas beberapa sebab.

Pihak Kelantan telah menghubungi MFL dan menghantar cek yang baharu berserta melakukan pembayaran dalam talian kepada beberapa pemain dan pegawai yang terlibat.

Kelantan kemudian menghantar bukti resit pembayaran yang baharu bagi semakan pihak FIB dan mendapati tujuh pemain dan seorang pegawai masih belum menerima gaji penuh untuk bulan Ogos 2023 kerana isu penamatan kontrak antara pemain atau pegawai dengan Kelantan.

MFL meminta Kelantan untuk menghantar dokumen sokongan pada 18 Disember 2023 untuk kesemua tujuh pemain dan seorang pegawai yang terlibat bagi semakan pihak FIB. Setelah menerima dokumen daripada Kelantan pada 18 Disember 2023, masih terdapat dokumen sokongan untuk seorang pemain dan seorang pegawai yang tidak lengkap.

Pihak FIB juga mengarahkan Kelantan menjelaskan semua lima kes FIFA yang mempunyai keputusan sebelum 31 Ogos 2023 sebelum atau pada 31 Disember 2023 jam 5:00 petang, bagaimanapun pihak FIB tidak menerima sebarang dokumen sehingga tarikh akhir.

Kelantan juga tidak menghantar bukti resit bayaran ansuran bulanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh KWSP dan PERKESO untuk tunggakan sehingga Ogos 2023.

Setelah gagal menyelesaikan tunggakan pada 30 November 2023 dan 31 Disember 2023, maka Kelantan gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi saingan Liga Super musim 2024 – 2025.

Bagaimanapun Kelantan diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari 2023 terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan lesen kebangsaan.