Malaysia Berita

Malaysia dominasi perlawanan, menang selesa ke atas Hong Kong

Skuad kebangsaan meraih kemenangan kedua berturut-turut tanpa bolos apabila menewaskan Hong Kong 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Ini selepas Malaysia menewaskan Brunei 4-0 beberapa hari lalu.

Berbeza dengan Brunei, jurulatih negara Kim Pan-gon menggunakan formasi 4-5-1 dan 4-2-3-1 untuk berdepan Hong Kong.

Strategi itu ternyata berhasil apabila Malaysia menguasai permainan sehingga 70 peratus malah mencipta deretan peluang menerusi Arif Aiman dan Akhyar Rashid.

Bagaimanapun, Malaysia mengambil masa sehingga minit ke-31 untuk menjaringkan menerusi sepakan penalti Safawi Rasid selepas Akhyar dijatuhkan dalam kotak penalti.

Skuad kebangsaan terus mendominasi perlawanan di separuh masa kedua namun gagal menembusi benteng pertahanan.

Ketika perlawanan menuju minit akhir, Safiq Rahim membantu pasukannya menambah gol kedua menerusi sepakan percuma selepas terkena pemain Hong Kong dan keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Malaysia akan memulakan pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2023 minggu hadapan.

Perlawanan pembukaan menyaksikan Malaysia akan bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).