Liga Super Malaysia Berita

6 perlawanan Liga Super dipinda, beri laluan kepada skuad Sukan SEA

Sebanyak 6 perlawanan Liga Super akan dipinda bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan B-23 menyertai latihan pusat dan Sukan SEA 2022, Hanoi, Vietnam bermula 30 April 2022 sehingga 23 Mei 2022.

Ini selepas hanya 5 pemain menyertai sesi latihan yang dikendalikan oleh Brad Maloney.

Pindaan itu dibuat setelah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama FAM, pengurusan skuad kebangsaan dan B-23 serta pihak pengurusan kelab-kelab berkaitan.

“Merujuk kepada perbincangan MFL dan FAM sebelum ini, pasukan senior kebangsaan dan skuad B-23 masing-masing akan menjalani latihan pusat bagi menghadapi kejohanan antarabangsa seperti pasukan kebangsaan akan menyertai latihan pusat bermula 19 Mei 2022 sehingga 29 Mei 2022,” kata CEO MFL, Stuart Ramalingam dalam kenyataan.

“Skuad B-23 akan menjalani latihan pusat sebagai persiapan kepada kejohanan Sukan SEA 2022 Hanoi, Vietnam bermula 30 April 2022 sehingga 11 Mei 2022 dan kejohanan Piala AFC B-23 Uzbekistan bermula 24 Mei 2022 sehingga 31 Mei 2022.

“Pindaan perlawanan Liga Super ini penting kerana ia berkaitan dengan agenda kebangsaan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada setiap kelab yang memberi kerjasama dan persetujuan menyempurnakan pindaan ini dengan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.”

Dalam perkembangan sama, keseluruhan perlawanan minggu ke-10 turut dipinda setelah Malaysia diberi peluang menjadi tuan rumah kepada pusingan kelayakan Piala Asia.

Kata Stuart, dengan ketiadaan perjalanan dan kuarantin pasukan kebangsaan didalam fasa endemik ini, MFL dapat memberi tambahan hari untuk latihan pusat pasukan Kim Pan-gon sebelum aksi penting bulan Mei dan Jun ini.

“Pindaan keseluruhan perlawanan minggu ke-10 Liga Super 2022 juga menjadi sebahagian dalam penyelarasan di antara FAM dan MFL.

“Kita mahu memberikan peluang kepada pasukan kebangsaan menjalani latihan pusat bermula 19 Mei 2022 bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium National Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 8 Jun 2022.”

Namun, beliau mengakui MFL pindaan jadual seterusnya mungkin terpaksa dilakukan dengan mengambil kira kelayakan ke peringkat seterusnya (pusingan kalah mati) oleh mana-mana kelab Liga Malaysia iaitu JDT, Kedah dan KL City dalam pertandingan AFC.

Malah, perlawanan pusingan kedua Piala FA melibatkan pasukan-pasukan yang terlibat juga bakal dipinda dan akan diumumkan pada minggu depan.