Liga Premier Malaysia Berita

Masih gagal bayar gaji, Perak akhirnya dipotong tiga mata

Perak menjadi pasukan pertama Liga Malaysia musim ini dikenakan pemotongan mata selepas gagal membayar tunggakan gaji hampir RM1 juta pada tarikh pertama yang ditetapkan oleh FIB iaitu pada 31 Mac 2022.

Ia melibatkan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan reserve team sehingga November 2021 berdasarkan Akuan Berkanun (SD) yang dihantarkan oleh Perak bertarikh 15 Disember 2021.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa berkenaan kes tunggakan yang berlaku pada musim 2021.

“Pihak pengurusan Perak sebelum ini telah bersetuju untuk menjelaskan baki tunggakan gaji tahun lalu,” kata Sheikh Mohd Nasir dalam kenyataan.

“Ia melibatkan pemain dan pegawai pasukan utama dan reserve team berjumlah RM934,729.42 pada 31 Mac 2022 namun mereka didapati gagal untuk berbuat demikian.

“Justeru itu, Jawatankuasa FIB yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menjatuhkan hukuman pemotongan tiga mata kepada Perak.

“Jika Perak masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir kedua (14 April 2022) maka pada 15 April 2022, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Premier dan pengurangan dana.”

Tambah Sheikh Mohd Nasir lagi, sekiranya Perak masih gagal membuat bayaran tunggakan gaji tersebut sebelum atau pada 21 April 2022, maka pada 22 April 2022 MFL akan memanjangkan kes ini kepada FIB bagi tindakan lanjut.

Sebelum ini, MFL telah menghantar surat pekeliling kepada Perak pada 15 November 2021 untuk menyerahkan akuan bersumpah (SD) semua bayaran berkenaan.

Kemudian pada 15 Disember 2021, Perak telah memuat naik SD ke dalam sistem AFC CLAS.

Pada 11 Januari 2022, Perak FC telah menghantar e-mel mengenai jumlah tunggakan pembayaran gaji sehingga November 2021 melibatkan pemain dan pegawai, LHDN, KWSP dan PERKESO.

Pada 9 Mac 2022, MFL telah menghantar surat kepada Perak FC untuk mengarahkan agar bayaran tunggakan pemain dan pegawai bagi pasukan utama dan reserve team dijelaskan sebelum 31 Mac 2022 bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.

Pada 25 Mac 2022, MFL telah menghantar peringatan pertama kepada Perak dan disusuli peringatan kedua pada 29 Mac 2022.

Pada 30 Mac 2022, Perak telah menghantar surat permohonan untuk melanjutkan tarikh akhir walau bagaimanapun, pada 31 Mac 2022 Jawatankuasa FIB melalui MFL membuat keputusan untuk menolak permohonan tersebut.

Sekretariat MFL telah membuat semakan di mana bermula 9 Mac 2022, MFL telah menuntut bukti bayaran dan laporan kewangan Perak bagi musim 2022 susulan masalah kelab itu yang gagal menyelesaikan dua bulan tunggakan gaji pegawai dan pemain musim ini.

Namun, pihak pengurusan Perak gagal mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan kedudukan kewangan mereka serta laporan pembayaran tunggakan gaji pegawai dan pemain musim ini pada tarikh akhir 16 Mac 2022.

Perak melalui emel telah membalas kepada MFL dengan menghantar dua laporan iaitu perjalanan aliran tunai 2022 dan tunggakan gaji untuk Januari sehingga Februari 2022 pada 15 Mac 2022.

Dua hari kemudian, MFL membalas surat Perak dengan menyatakan maklumat yang diserahkan tidak mencukupi untuk membuktikan Perak mampu bertahan sehingga ke penghujung musim 2022.

MFL telah menerima surat daripada Perak berhubung pelabur baharu yang berminat untuk mengambil alih melalui surat tawaran (LOI) pada 19 Mac 2022 dan Perak menghantar pemakluman mengenai tawaran mengambil alih dan pemilikan Perak FC Sdn. Bhd pada 21 Mac 2022.

Bagaimanapun, Perak belum menghantar sebarang butiran rasmi atau bukti berkenaan kemampuan pelabur baharu (Proof of funds) yang bersedia untuk mengambil alih Perak pada atau sebelum 22 Mac 2022.

Sekiranya Perak masih gagal mengemukakan dokumen rasmi sehingga 22 April 2022, kes ini akan dibawa kepada FIB untuk pertimbangan lanjut sebelum Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan mengenai status Perak.