Liga Super Malaysia Berita

Peminat bola sepak akhirnya dibenarkan makan dan minum dalam stadium

Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu mengesahkan bahawa aktiviti makan dan minum dibenarkan, selaras dengan fasa peralihan ke endemik bermula 1 April, esok.

Ini kali pertama peminat bola sepak Malaysia dapat melakukan aktiviti makan dan minum dalam stadium, dua tahun selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Malah, kanak-kanak bawah umur 12 tahun juga dibenarkan masuk ke stadium bagi menyaksikan perlawanan.

“Kementerian Belia dan Sukan mengalu-alukan stadium dan pusat kejohanan membenarkan penonton makan dan minum,” kata Faizal kepada Bernama.

“Selain kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dibenarkan masuk. Sudah tentu kelonggaran ini disambut baik oleh orang ramai.

“Namun prosedur operasi standard (SOP) memakai pelitup muka jika tidak minum atau makan serta penjarakan sosial perlu dipatuhi.

Bagaimanapun, katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memperincikan lebih banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam masa terdekat.