Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Corak permainan Harimau Malaya kini lebih cenderung untuk menyerang

Jurulatih negara, Kim Pan-gon menyifatkan corak permainan Malaysia kini lebih cenderung untuk menyerang.

Ini meskipun Malaysia tewas 2-1 kepada Singapura selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Filipina.

“Ia adalah perlawanan persahabatan yang sangat bagus,” katanya kepada Bernama.

“Kami lebih cenderung untuk lebih menyerang, kami cuba menjadikan identiti bola sepak Malaysia lebih positif.”

Beliau juga menganggap barisan pemain beraksi dengan baik namun masih boleh memperbaiki prestasi.

“Saya sangat yakin dengan prestasi kesemua pemain, mereka hebat. Malangnya, kami tidak dapat mengubah nasib walaupun terdapat banyak peluang.

“Saya fikir kadangkala situasi ini berlaku, kita boleh belajar sesuatu daripadanya.”

Pada masa sama, Pan-gon menyifatkan Malaysia mempamerkan bola sepak yang lebih bertenaga, agresif, dinamik dan proaktif, elemen yang cuba diterapkan dalam pasukan yang dikendalikannya.

“Selama 10 hari, saya gembira bersama semua pemain, tiada aduan mengenai mereka. Semestinya kami cuba untuk memperbaiki, lebih positif untuk prestasi pemain.

“Kami gunakan peluang ini cuba untuk menambah baik. Saya rasa kami sudah bertambah baik, saya sangat positif kami boleh pergi lebih jauh.”

Mengulas mengenai kelemahan Malaysia di bahagian pertahanan, Pan-gon mahu mengambil risiko dengan melakukan permainan menyerang.

“Saya boleh seri dengan Singapura 100 kali tetapi saya tidak mahu. Saya ingin menang dalam perlawanan, jadi kita tidak perlu takut untuk menyerang.”