Liga Super Malaysia Berita

Selangor nafi terima bantuan kewangan dari TMJ

CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah menerima sebarang sumbangan bantuan berbentuk kewangan daripada mana-mana pasukan lain.

Malah katanya, sejak pasukan itu berada di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Julai 2018, dana pasukan itu hanya diterima hasil daripada aktiviti pengkomersialan dan tajaan.

“Saya ingin jelaskan bahawa di bawah kepimpinan Tuanku RMS sejak Julai 2018, Selangor tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dari pasukan lain,” kata Johan menerusi akaun Twitter miliknya.

“Dana kelab hanyalah daripada penaja rasmi dan aktiviti pengkomersialan sahaja.”

Ini sekali gus menafikan kenyataan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini bahawa baginda pernah menyalurkan bantuan kepada lima pasukan Liga Malaysia termasuk Selangor.